JEJAK SEJARAH: Media Menjejak Abad . Majalah Maya . Paparan Foto . Kesan Peninggalan Sejarah . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Sejarah Tidak Pernah Lupa, Menyembunyikan Diri dan Berbohong Terhadap Manusia . Tetapi Manusialah Yang Sentiasa Lupa, Berbohong dan Menyembunyikan Faktanya. Editor: Azmi Mohd. Salleh

Isnin, 4 November 2013

Pondok Lubuk Tapah: Lemal (Pasir Mas)


PONDOK LUBUK TAPAH

PASIR MAS, KELANTAN:  PONDOK Lubuk Tapah merupakan Pusat Pengajian Pondok yang terkenal di Kelantan yang terletak dalam daerah Lemal, Pasir Mas, Kelantan. Pondok ini diasaskan oleh murid Tok Kenali, Tuan Guru Hj. Ab. Rahman bin Hj. Che Wan di awal tahun 1931.

Anakanda beliau, Tuan Guru Hj. Abdullah bin Hj. Ab. Rahman telah mengambil alih tempat ayahanda beliau itu sebagai Guru dan Mudir di Pondok Lubuk Tapah ini setelah ayahandanya meninggal dunia pada tahun 1988 sehingga sekarang.

Pondok ini letaknya di atas tanah seluas 6 ekar malah pada masa kemuncak pondok ini pada tahun 1960-an, terdapat seramai 150 pelajar dari seluruh Nusantara yang menuntut di pondok ini. Pada masa pengajian, terdapat ratusan lagi pelajar yang berulang-alik ke pondok ini. Pondok Lubuk Tapah telah melahirkan ramai alim ulama yang datang dari seluruh Nusantara.

Lubuk Tapah terkenal disebabkan pondoknya iaitu Pondok Lubuk Tapah di samping sebuah masjid mukim yang selalu didatangi penduduk kampung dan pelawat-pelawat dari luar negeri.

“Tapah” adalah nama sejenis ikan sungai yang mempunyai banyak darah. Manakala pondok ini pula terletak di tepi sebuah anak sungai yang mempunyai sebuah lubuk (telaga dalam sungai) di mana banyak berkeliaran ikan tapah itu.

Pada suatu ketika, Tok Kenali telah melawat anak muridnya yang merupakan Pengasas Pondok Tapah ini iaitu Tuan Guru Hj. Ab. Rahman bin Hj. Che Wan. Bapa beliaulah, Hj. Che Wan yang telah mengundang Tok Kenali ke rumahnya (sebelum pondok ini didirikan).

Tok Kenali menaiki keretapi dari stesen Palekbang ke Pasir Mas iaitu kira-kira setengah jam melalui beberapa buah kampung, padang dan jambatan. Apabila Tok Kenali tiba di Stesen Kereta api Pasir Mas, Tok Kenali mendapati ramai yang sedang menunggu ketibaan beliau dan kemudian mereka semuanya berjalan kaki mengiringi Tok Kenali dari Pasir Mas ke Pondok Lubuk Tapah sejauh kira-kira 4 kilometer.

Tok Kenali dijemput disebabkan masyarakat dan penduduk kampung berkenaan ingin mengenali Tok Kenali secara lebih dekat tentang seorang yang paling alim dan apabila tiba di kampung berkenaan beliau dihidangkan nasi dengan sayur bayam. Sesudah itu, Tok Kenali dibawa pula ke rumah Tok Saman, bapa kepada Tuan Guru Abdullah Kampung Lati dan di sana beliau minta dihidangkan nasi dengan berlaukkan ayam kampung. Mungkin disebabkan kedatangan Tok Kenali menziarahi muridnya dan kampung berkenaan, maka Pondok Lubuk Tapah terus maju sehingga hari ini.
(Sumber: Buku Detik-detik Sejarah Hidup Tok Kenali, Ustaz ‘Abdullah Al-Qari bin Hj. Salleh (A.Q.H.A.S – cucu Tok Kenali)

Malahan kini, Pondok Lubuk Tapah telah diwartakan dalam kalendar Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sebagai sebuah institusi pondok yang dapat bertahan lama dan masih aktif sehingga hari ini disebabkan ia sebuah institusi Islam yang paling dikunjungi oleh pelawat-pelawat dari dalam dan luar negara.





Batu asas Pondok Lubuk Tapah diwarta dalam kalendar pelancongan.

 Tapak asal Pondok Lubuk Tapah yang didakwa terbakar beberapa tahun lalu.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH