Halaman

Isnin, 14 Julai 2014

Istana Bukit Tanah: Kg.Baru Nelayan (Tumpat)


ISTANA BUKIT TANAH


TUMPAT, KELANTAN: Istana Bukit Tanah merupakan salah satu istana yang terdapat di Negeri Kelantan dan merupakan satu-satunya istana yang terdapat di dalam Jajahan Tumpat. Difahamkan istana ini dibina sebelum zaman pemerintahan Jepun lagi iaitu sekitar tahun 1910 iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Muhammad Ke-4.

Pada amnya tapak istana ini agak rendah dan dipercayai telah ditimbun dengan tanah supaya kelihatan lebih tinggi. Memandangkan kedudukan yang tinggi seolah-olah sebuah bukit, maka istana ini telah terkenal dengan jolokan Istana Bukit Tanah. Keluasan tapak istana ini hampir mencecah 3 ekar dan kawasannya dikelilingi oleh pokok-pokok besar yang mana ada di antara pokok-pokok tersebut telah mencecah usia lebih dari 30 tahun.

Dahulunya Istana Bukit Tanah terkenal dengan kewujudan sebatang pokok iaitu Pokok Kelumpang. Pokok ini dikatakan tersangat tinggi sehingga boleh dilihat dari pesisiran pantai Laut Cina Selatan. Walau bagaimanapun, pokok ini telah tumbang dimakan usia.






Foto ini dirakam di Istana Bukit Tanah, Kampung Baru Nelayan, Tumpat, Kelantan pada 12.7.2014.

Sumber:
MAJLIS DAERAH TUMPAT
www.mdtumpat.gov.my

Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 6 Julai 2014

Kolam Puteri Sa'adong: Kg.Kutan Hilir (Wakaf Baharu)


KOLAM PUTERI SA'ADONG

WAKAF BAHARU, KELANTAN: Terdapat beberapa buah kolam yang sering digunakan oleh Puteri Sa'adong ketika zaman remajanya sehingga Baginda menjadi Permaisuri Raja Abdullah yang pernah ditemui seperti kolam terbesar terletak di Kampung Pangkal Kalong, Ketereh, kolam di Jalan Panji dan terbaru yang ditemui di Kampung Kutan Hilir, Wakaf Baharu, Kelantan. Kolam ini terletak berhampiran dengan sebatang sungai yang sering digunakan oleh Baginda, pedagang-pedagang lain yang menyusurinya serta penduduk-penduduk kampung terbabit.

Seorang penduduk kampung terbabit yang sempat ditemui Wartawan JEJAK SEJARAH, Wan Hanafi Wan Isa berkata, kolam mandi tempat Puteri Sa'adong bersiram juga ada di kampungnya itu. Kolam yang dimaksudkan itu memang ternyata agak besar, tetapi kini telah didapati tertimbus berikutan kerja-kerja terhadap kawasan tanah terbabit.

"Jika dilihat, seolah-olah sebatang parit, namun disebabkan faktor tanah yang semakin turun menyebabkan kolam itu semakin sempit", katanya.

Katanya lagi, kolam itu telah ditemui oleh salah seorang penduduk kampungnya yang kini telah meninggal beberapa tahun lalu. Jika arwah tidak memaklumkan tentangnya, sudah tentu beliau sendiri tidak mengetahui tentang wujudnya kolam lama berusia lebih 200 tahun lalu di situ.

Menurut Wan Hanafi, pada masa dulu jalan darat masih tidak berfungsi tidak sebagaimana di zaman moden ini. Justeru, alternatif yang sering digunakan oleh penduduk-penduduk pada masa itu termasuk Puteri Sa'adong sendiri yang menggunakan laluan berkenaan. Maka sungai yang berhampiran dengan kolam itu adalah laluan alternatif yang lazim digunakan oleh Puteri Sa'adong.

"Mungkin juga wujudnya kolam seumpama itu berdekatan dengan sungai bagi memudahkan Baginda membersih dan mencuci diri dan sejak itu kolam itu begitu tersohor di situ", ujarnya.

Sambung Wan Hanafi lagi, pernah bahtera yang dinaiki Baginda dikenali "Jong Kapa Ulana" telah karam kerana bertembung dengan ombak dan air berpusar di kawasan muara sungai. Beliau membawa Wartawan JEJAK SEJARAH ke lokasi muara sungai yang dimaksudkan.

Apabila ditanya, mungkin wujudnya keturunan atau generasi Puteri Sa'adong di kampung itu selepas Baginda wafat, beliau menafikannya. Katanya, setakat yang beliau dapat tahu dari beberapa penduduk kampung, tidak mungkin ada generasi Baginda di kampung itu. Kehadiran Baginda menyusuri sungai itu atas kapasiti Baginda sebagai seorang raja dan pemerintah sahaja.

Wan Hanafi Wan Isa.

Wan Hanafi Wan Isa ketika ditemubual Wartawan JEJAK SEJARAH.


Kolam mandi Puteri Sa'adong.

Sungai yang dimaksudkan.

Muara sungai inilah menyebabkan Jong Kapa Ulana yang dinaiki Puteri Sa'adong karam.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 5 Julai 2014

Kota Gua: Kg.Padang Pak Amin (Pasir Mas)


KOTA GUA

PASIR MAS, KELANTAN: Di tebing sungai Kelantan yang terletak di Kampung Padang Pak Amin di zaman Cik Siti Wan Kembang (Pemerintah dan Raja Kelantan Ke-6) dulu merupakan sebuah kota yang tenggelam oleh air Sungai Kelantan yang sering pasang surut. Pada masa itu, keadaan sungai terbabit agak jernih, malah ikan-ikan yang berenang di sungai berkenaan boleh dilihat dengan jelas, tidak sebagaimana hari ini apabila keadaan sungainya yang agak keruh dan berkelodak disebabkan banyak aktiviti berhampiran tebingnya.

Seorang penduduk, Owe Cheng Huai dari Kampung Sakar Sungai, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan JEJAK SEJARAH berkata, dia pada mulanya tidak mempercayainya tentang kewujudan Kota Gua yang dimaksudkan itu. Tetapi setelah ditunjukkan oleh salah seorang penduduk bernama Pak Mat beliau mula mempercayainya. Apa yang menariknya, beliau dapat melihat sendiri kota berkenaan yang tenggelam di kedalaman air sungai di samping penutup pintu kota tersebut yang diperbuat daripada emas tulen berbentuk kijang.

Selain itu menurutnya, beliau mendapat tahu cerita Cik Siti Wan Kembang yang menyusuri sungai tersebut telah karam kira-kira 500 meter dari tempat Pulau Batu Hampar dan Kota Gua itu. Mungkin menurutnya, disebabkan bahtera yang dinaiki Cik Siti Wan Kembang dikenali Jong Kapa Ulana sebagai penyebab penemuan beberapa syiling emas berlogo kijang dan syiling berlubang yang terkenal pada masa itu.

Katanya, di dasar Sungai Kelantan berhampiran Kampung Padang Pak Amin itu bukan sahaja kaya dengan artifak lama di zaman Cik Wan Kembang seperti wang syiling emas, tetapi amat kaya dengan emas tulen dan bermutu tinggi. Emas itu terletak di sebuah tempat dikenali Pulau Batu Hampar. Batu hampar itulah yang menaungi dan melindungi khazanah yang berharga dari bumi di kampung itu. Katanya, ketika zaman remajanya pernah beberapa penduduk kampung cuba menggali emas-emas di kawasan batu hampar itu tetapi apalah kekuatan manusia untuk mengambilnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang penemuan artifak lama dan syiling emas seolah-olah di zaman Kelantan purba yang banyak ditemui di sungai berkenaan sejak tahun 2013 yang lalu sehinggakan menjadi tumpuan pengunjung dari serata Kelantan termasuk dari luar Kelantan.

Justeru, amat jelas negeri Kelantan sememangnya amat kaya dengan khazanah berharga dari bumi yang tidak cuba digali untuk keperluan kepada rakyatnya sendiri, yang akhirnya rakyatnya sendiri berputih mata apabila segala hasil bumi itu mengalir ke luar Kelantan. Ruginya ialah rakyatnya yang tidak menyedari percaturan itu dan yang untungnya ialah pihak lain.

Owe Cheng Huai.

Owe Cheng Huai ketika ditemubual oleh Wartawan JEJAK SEJARAH.

Kota Gua di Kampung Padang Pak Amin.

Owe Cheng Huai sedang menunjukkan arah Kota Gua yang dimaksudkan.

Pulau Batu Hampar.

Owe Cheng Huai sedang menunjukkan arah Pulau Batu Hampar.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH