Halaman

Khamis, 25 September 2014

Tok Selehor (Tumpat)


TOK SELEHOR


TUMPAT, KELANTAN:  TOK SELEHOR adalah singkatan nama atau gelaran kepada Haji Abdul Rahman bin Haji Uthman yang merupakan seorang ulama besar bertaraf wali dari Tanah Melayu yang berasal dari Kelantan. Tok Selehor dilahirkan di Kampung Lubok Jong di pinggir Sungai Selehor pada tahun 1871 Masihi yang kini dikenali Kampung Kok Pasir, Tumpat, Kelantan.

Tentang pembelajaran Al-Quran pula, disebabkan bapanya yang merupakan seorang Guru Al-Quran, memudahkan Tok Selehor mempelajari kitab berkenaan dari bapanya sendiri. Selepas itu, Tok Selehor telah dihantar oleh bapanya untuk menuntut ilmu di Pondok Tuan Guru Haji Abdul Malik di Sungai Pinang.

Selepas itu, Tok Selehor belajar lagi di Pattani (Siam) selama tujuh (7) tahun dengan Tuan Guru Haji Abdul Rashid, Kuala Bekah dan Tuan Guru Haji Abdullah Tok Jong, Bendang Jong. Sekembalinya Tok Selehor dari Pattani (Siam), beliau menyambung pelajaran ke Mekah pula selama 18 tahun.

Sekembalinya Tok Selehor dari Mekah, beliau telah membuka pondok di tepi Sungai Selehor pada tahun 1340 Hijrah. Hakikatnya, Tok Selehor mempunyai kebolehan dalam pelbagai bidang, namun bidang yang sangat diminatinya ialah “tasauf”.

Ketika ditemui Wartawan JEJAK SEJARAH, bekas Penghulu Kampung Kok Pasir, Che Yusof Che Ibrahim, Pak Soh, 61, berkata pendekatan dakwah yang digunakan oleh Tok Selehor menyamai dakwah Wali Songo (Wali Sembilan) dikenali Sunan Kalijaga. Malah Tok Selehor juga pada masa itu seorang yang banyak ilmunya dalam fatwa.

Selain itu, Tok Selehor memang berminat dengan seni silat dan bermain keris. Beliau juga mahir dalam bersyair dan membaca buku-buku sastera lama.

Menariknya tentang Tok Selehor ialah beliau membina “satu lubang’ di atas makamnya dikenali “Suluk Tok Selehor” sebagai tempatnya solat dan berkhalwat untuk tujuan menginsafkan diri dan mengingatkan tentang kematian.

Tok Selehor menghembuskan nafasnya pada malam Khamis, 20 Februari, 1935 (18 Zulkaedah 1353) dalam usia 64 tahun sebagai seorang ulama besar yang berstatus wali yang bersahabat akrab dengan Tok Kenali.
 
Justeru, banyak jasa Tok Selehor terhadap Islam, Institusi Ulama serta sejarah Islam Tanah Melayu terutamanya di Kampung Kok Pasir, Palekbang, Tumpat, Kelantan. Sehingga hari ini, keadaan kampung berkenaan dalam keadaan aman dan sentosa. Walaupun penjajah Jepun dan British di Tanah Melayu kerap menjajah tempat sebagai laluan pihak berkenaan namun tidak di kampung berkenaan sewaktu hayat Tok Selehor. Sesuatu yang paling menarik di Kampung Kok Pasir, penduduk di kampung ini mesra terhadap tetamu yang datang berkunjung untuk menunjukkan keberkatan Allah terhadap wali-Nya itu dapat pula dinikmati oleh semua penduduknya pula.

Che Yusof bin Che Ibrahim atau Pak Soh.

Pak Soh ketika ditemubual Wartawan JEJAK SEJARAH.







Suluk Tok Selehor.



Makam Tok Selehor.

Pusara Bapa Tok Selehor.

Makam Haji Abbas, anak murid Tok Selehor.





Wakaf Tok Selehor. Sebatang tiang, tempat Tok Selehor menyandarkan badannya (anak panah) ketika mengajarkan ilmu kepada anak muridnya.

 Masjid Tok Selehor.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 20 September 2014

Makam Di Bukit Panau (Tanah Merah)


MAKAM DI BUKIT PANAU

TANAH MERAH, KELANTAN: Bukit Panau yang terletak di laluan Pasir Mas - Tanah Merah di Kampung Bukit Panau yang berjiran dengan Kampung Sungai Keladi memang gah sejak dulu. Bukit Panau bukan sahaja pernah dijadikan sebuah tempat untuk bertapa, bersuluk, beruzlah dan mengasingkan diri untuk memantapkan lagi tuntutan ilmu kebatinan dan kerohanian. Tetapi Bukit Panau pernah dijadikan sebagai "landmark" bagi pelaut antarabangsa yang mudah diakses dari Laut China Selatan.

Namun, hakikatnya pada tahun 1349 Masihi, Bukit Panau telahpun dijadikan sebagai perkampungan terawal  dan pertemuan Wali Songo (Wali Sembilan) untuk memulakan dakwah ke Tanah Jawa, malah terdapat sebuah gua yang terlindung di sebalik pandangan umum itu pernah dijadikan gelanggang persilatan.

Pahlawan besar yang pernah bertapa dan menuntut ilmu kebatinan, kerohanian dan ilmu persilatan sebagaimana yang tercatat dalam lipatan sejarah ialah dikenali“Hang Tuah”. Hang Tuah pernah menuntut ilmu persilatan yang meliputi bidang kebatinan dalam gua Bukit Panau sejak usia awal 1400 tahun dari salah seorang ahlul bait yang juga dari keluarga Rasulullah S.A.W  bernama Syed Thananuddin atau masyarakat di situ menggelarkannya sebagai Syeikh Saman atau catatan dalam sejarah dikenali sebagai Adi Putra.

Bahkan Sayed Thananuddin yang merupakan guru Hang Tuah itu adalah adik kepada Syed Hussein Jamadil Kubra yang merupakan Ketua Wali 7 (Tanah Melayu) dan juga Datuk Wali Songo (Indonesia/Jawa). Hakikatnya, Bukit Panau telah dijadikan perkampungan Wali Songo untuk memulakan dakwah ke Tanah Jawa. Dikatakan, asal usul nama negeri “Kelantan” berasal dari tempat itu apabila kumpulan Wali Songo yang diketuai Sunan Bonang datang ke Bukit Panau itu dan apabila kedua-duanya bersalam terbitlah “kilatan” dari arah gua di bukit itu sebanyak tiga kali.

Dari istilah kilatan mewujudkan nama Kelantan dikekalkan sehingga hari ini. Pancaran kilat itu boleh disaksikan di kawasan taman rekreasi tempat Puteri Sa’adong dan Cik Siti Wan Kembang bersemayam dikenali Taman Serendah Sekebun Bunga di Pangkal Kalong (Ketereh, Kota Bharu), Danau To' Uban (Pasir Mas) dan di Kampung Pengkalan Kiat (Machang). Bahkan Bukit Panau amat jelas apabila berada di Kampung Pengkalan Kiat ini kerana Bukit Panau itu dipisahkan oleh Sungai Kelantan sejauh kira-kira 600 meter. Sejarah berkenaan luput ditelan zaman disebabkan sikap iri hati pihak British yang memadamkan sejarah tempat itu supaya tidak diketahui oleh generasi yang akan datang.

JEJAK SEJARAH cuba menjejak sebuah makam yang terdapat di puncak Bukit Panau itu. Difahamkan, sebelum ini makam berkenaan tidak diberikan perhatian yang wajar sehingga tidak lagi dianggap sebuah pusara (makam). Kemudiannya, makam itu telah dibaikpulih di mana di sekelilingnya dibina papan yang dicat kuning.

Persoalannya, makam siapakah yang terdapat di puncak Bukit Panau itu? Ada yang mendakwa, makam itu milik Sayed Hussein Jamadil Kubra, malah terdapat versi lain menyatakan makam itu adalah milik Sayed Thananuddin kerana beliau seorang alim terawal bertapa dalam gua itu. Malah ada yang mendakwa makam itu adalah milik kedua-duanya.

Makam siapakah yang terletak di puncak Bukit Panau?


Bukit Panau dirakam dari jarak dekat.

Bukit Panau dirakam dari Kampung Pengkalan Kiat, Machang, Kelantan.

Bukit Panau dirakam dari Danau To' Uban, Pasir Mas, Kelantan.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH