Halaman

Jumaat, 30 Ogos 2013

Masjid Kg.Laut: Nilam Puri (Kota Bharu)



MASJID KAMPUNG LAUT

TUMPAT, KELANTAN:  MASJID KAMPUNG LAUT bukan sahaja sebuah masjid tertua di Kelantan tetapi juga di Nusantara. Masjid ini dikatakan dibina dalam abad ke-18 oleh pengembang Islam (Wali Songo) yang mana seni binanya seperti Masjid Demak di daerah Gresik, Indonesia yang dibuat dari kayu tanpa menggunakan paku tetapi hanya dipasak.

Tapak asal masjid ini terletak di Kampung Laut, Tumpat iaitu di pinggir Sungai Kelantan. Disebabkan masjid ini sering ditenggelami banjir, lalu dalam tahun 1965 masjid ini dipindahkan ke Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan sehingga hari ini.



Inilah Masjid Kampung Laut yang dipindah dan diletakkan di Nilam Puri, Kota Bharu.


Difahamkan, di kawasan inilah tapak asal Masjid Kampung Laut, Tumpat.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 28 Ogos 2013

Makam Tok Bali Merah: Kg.Belukar (Tumpat)



MAKAM TOK BALI MERAH

TUMPAT, KELANTAN:  TOK BALI MERAH bukanlah seorang nasionalisme tetapi merupakan seorang tokoh pendakwah yang paling disegani di Pattani, Siam malah hidup sezaman dengan Haji Mat Hassan bin Munas atau Tok Janggut, seorang Pahlawan Melayu yang dilahirkan di Kampung Saring, Pasir Puteh, Kelantan.

Tok Bali Merah adalah seorang yang alim dan pendakwah yang bermulut masin, kata-katanya mendapat keberkatan dan sering menjadi. Tok Bali Merah bukan sahaja turut melakukan tugas suci itu untuk menyebarkan Agama Islam dan menyatu padukan hubungan umat-umat Islam, dia juga turut dibantu oleh Tok Janggut. Oleh kerana Tok Bali Merah seorang yang alim, masyarakat kampung berkenaan pada waktu itu mengambil peluang itu untuk menimba ilmu dengan beliau, malah sebagai menghormati seorang guru yang alim dan sanggup datang dari jauh untuk menyampaikan ilmu, penduduk kampung itu turut membantu mendirikan pondoknya. Pembinaan pondok di situ bertujuan sebagai tempat ibadat dalam usaha menyebarkan syiar Islam kepada penduduk-penduduk di situ.

Bentuk fizikal dan ketinggian arwah Tok Bali Merah dianggarkan  mencecah 3 meter (8 kaki) dan bentuk fizikal tubuhnya agak tegap dan sasa, sebab itulah arwah mampu berjalan kaki dari jarak yang jauh apatah lagi terpaksa meredah hutan belukar dengan mudah. Wajahnya pula berwarna merah kuning dan terdapat bintik-bintik di sebahagian mukanya manakala di kepalanya sentiasa "bersemutar".

Kini, walaupun usianya telah lebih 100 tahun, namun Makam Tok Bali sebenarnya masih lagi wujud di Kampung Belukar, Tumpat dalam keadaan terbiar dalam semak-samun di sawah padi itu kerana sukar untuk dipindahkan ke tempat lain.



Inilah Makam Tok Bali Merah.

 Wartawan JEJAK SEJARAH menjejak Makam Tok Bali Merah bersama salah seorang penduduk dari Kampung Belukar, Tumpat yang letaknya di tengah-tengah sawah padi.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Selasa, 27 Ogos 2013

Makam Tok Janggut: Pasir Pekan Hilir (Kelantan)



MAKAM TOK JANGGUT

WAKAF BAHARU, KELANTANTOK JANGGUT atau nama sebenarnya ialah Haji Mat Hassan bin Munas dilahirkan di Kampung Saring, Pasir Puteh, Kelantan pada tahun 1853. Tok Janggut adalah seorang ulama dan Pahlawan Melayu yang menentang campur tangan British di Negeri Kelantan dalam tahun 1909.

Tok Janggut bukanlah berjuang seorang diri tetapi turut dibantu oleh angkatan yang berjuang yang disokong oleh Engku Besar Jeram untuk tujuan membebaskan Kelantan dari belenggu penjajah Inggeris. Akibat dari tindakan Tok Janggut itu telah mencetuskan kemarahan pihak British. Akhirnya berlakulah pertempuran sengit di antara pasukan Tok Janggut dengan Pasukan Malay State Guide di Kampung Dalam Pupuh, Pasir Puteh. Kejadian ini berlaku pada 24 Mei, 1915.

Dalam pertempuran berkenaan, Tok Janggut terbunuh kerana dikatakan salah seorang dari anggota pasukannya yang belot. Mayatnya dibawa ke Kota Bharu dan kemudiannya dikebumikan berhampiran Sungai Kelantan yang dikenali sebagai Kampung Pasir Pekan Hilir, Wakaf Baharu, Kelantan.

Walau bagaimanapun, timbul pelbagai persepsi apabila sesetengah pihak mendakwa, makam yang ada sekarang bukanlah makamnya yang asli tetapi sebagai propaganda dan untuk mengaburi mata pihak British dan bertujuan untuk menyelamatkan nyawa Tok Janggut sendiri. Wajah mayat tersebut adalah seorang pengikut Tok Janggut yang seiras dengannya, malah dipercayai Tok Janggut telah melarikan diri ke Negeri Sembilan.


Justeru, Tok Janggut adalah Pahlawan Melayu sejati yang mempertahankan buminya yang berdaulat dari diperkotak-katikkan oleh penjajahan luar.


Wajah sebenar Tok Janggut.
Sumber: www.jejakwaris.com

Papan tanda arah ke Makam Tok Janggut.


Pihak British mendakwa, Tok Janggut berjaya ditangkap dan digantung di Padang Bank.
Sumber foto: Internet

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 24 Ogos 2013

Makam Long Sulaiman: Kg.Dusun Langgar (Wakaf Baharu)



MAKAM RAJA LONG SULAIMAN

WAKAF BAHARU, KELANTAN RAJA LONG SULAIMAN BIN LONG BAHA adalah penguasa tunggal negeri Kelantan apabila saudara Baginda, Sultan Yunus Pattani (putera Long Baha @ Raja Tuan Besar) mengangkat Raja Long Sulaiman menjadi Raja Kelantan Timur (Pengkalan Datu). Manakala Raja Kelantan Barat (Kota Kubang Labu) diserahkan oleh Long Nuh Pattani yang bersalah pada tahun 1750 yang kemudiannya bersatu di bawah seorang raja. Selepas itu, Raja Long Sulaiman memindahkan ibu kota negeri Kelantan dari Pengkalan Datu ke Kota Kubang Labu di Kelantan Barat yang menyebabkan Legeh tidak berpuas hati.

Berikutan itu, Legeh mula campurtangan dalam hal ehwal politik Kelantan untuk menjatuhkan Raja Long Sulaiman. Pada tahun 1756, Legeh mula menyerang Kelantan Barat dan dalam serangan itu Raja Long Sulaiman terbunuh. Baginda meninggalkan seorang putera tunggal, Long Yunus yang masih ditinggalkannya sewaktu dalam kandungan bondanya dalam tahun 1701. Kini Makam Raja Long Sulaiman terletak di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Baharu, Kelantan.



Inilah makam Raja Long Sulaiman Long Baha yang terbunuh dalam tahun 1756.

Foto ini dirakam di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Baharu, Kelantan pada 1.8.2009.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Makam Raja Dagang: Cherang Ruku (Pasir Puteh)



MAKAM RAJA DAGANG

PASIR PUTEH, KELANTAN:  MAKAM Raja Dagang terletak di Kampung Raja Dagang, Cherang Ruku, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan berhampiran dengan Pantai Bisikan Bayu. Dilaporkan, beliau bukanlah seorang raja tetapi seorang pendakwah dari negara lain (tidak dinyatakan). Beliaulah yang membuka kawasan ini lalu menamakan Cherang Ruku. Malah nama Kampung Raja Dagang dinobatkan sempena namanya sebagai seorang pedagang dan pendakwah.


Ketika foto ini dirakam, makam Raja Dagang masih lagi wujud di sini.

Foto ini dirakam di Kampung Raja Dagang, Cherang Ruku, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan pada 18.10.2009.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Makam Haji Daud: Kg.Bukit Abal (Pasir Puteh)



MAKAM HAJI DAUD BUKIT ABAL

HAJI DAUD SHAMSUDDIN BIN HAJI OMAR AL-LIBADI atau lebih dikenali sebagai Haji Daud Bukit Abal merupakan syeikh tarekat Ahmadiyah terpenting di rantau ini selepas generasi Mufti Haji Wan Musa/Sidi Muhammad al-Azhari/Syeikh Mohd Said Linggi. Beliau merupakan adik kandung Tuan Guru Haji Mat Limbat/Gong Kemudu. 

Haji Daud Shamsuddin bin Haji Omar al-Libadi dilahir di Kg. Kerasak, Limbat, Kota Bharu sekitar 1903. Ibunya, Wan Halimah bt. Hj. Ismail ialah adik kepada Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Haji Ismail (lebih terkenal dengan panggilan Haji Awang Limbat). Manakala bapanya, Haji Omar bin Haji Taib berasal dari Kg. Mentera, Bukit Marak. 

Antara guru-guru awalnya, Haji Awang Limbat, Haji Sulaiman Kubang Kachang, Tok Kenali, Tok Seridik, Haji Omar Sungai Keladi, Haji Nik Abdullah Khatib, Yaakub Legor dan Tok Khurasan. 

Di kota Mekah pula, antara lain beliau mendalami pengajiannya dengan Syeikh Omar Hamdan, Syeikh Mohd. Ali al-Maliki, Syeikh Hasan al-Masyat, Syeikh Hasan al-Yamani, Syeikh Muhammad al-Azhari Syeikh Mohd. Shafie Kedah(Tok Shafie). Kedua-dua penama akhir inilah yang banyak mencurahkan amalan terekat Ahmadiyah (termasuk ilmu Ihsanudin) kepadanya. 

Peringkat awalnya kurang mendapat sambutan- mungkin kerana namanya belum terserlah. Hanya selepas 1968 barulah majlis ilmunya mendapat perhatian ramai. Kupasan ilmu usuludin, furu'uddin (fiqh 4 mazhab) dan ihsanuddin yang menjurus kepada pengamalan zikir terekat kemudiannya terbukti sangat popular. Untuk kemudahan murid-muridnya beliau mengulang cetak karyanya sendiri, iaitu Risalat al-Aqaid wa al-Fawaid (cetakan pertama 1965), dan pada awal 1970-an diedarkan pula stensilan Risalat al-Tasawuf yang sempat disusun setakat 8 siri sahaja kerana masalah kesihatannya. 

Tuan Guru Haji Daud meninggal dunia di Bukit Abal ketika pondoknya sedang berkembang maju, iaitu pada pukul 2 petang Ahad 1 Safar 1396 bersamaan 1 Februari 1976. 

Warisan ilmunya kini desebarkan pula oleh tokoh-tokoh seperti tuan Guru haji Ghazali Tunjong, Pak Da Awang Kampung Pek, Ustaz Mustafa Muhammad al-Ahmadi (pengarang buku Mengenal Diri dan Wali Allah yang sangat popular itu), Ustaz Wan Hasan Bukit Tanah (ahli Jemaah Ulama MAIK), Drs Abdul Rahman haji Ahmad (Timbalan Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Negeri Kelantan) dan Prof Dr. hamdan Hassan (Universiti Brunei Darussalam).

Haji Daud Bukit Abal.







Foto ini dirakam di Makam Haji Daud di Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan pada 18.10.2009.

Sumber Tulisan:
http://kisahwalimelayu.blogspot.com

Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 23 Ogos 2013

Makam Tok Langgar: Jalan Panji (Kota Bharu)



MAKAM TOK LANGGAR

KOTA BHARU, KELANTANTOK LANGGAR adalah seorang hulubalang yang gagah perkasa yang sering mengiringi Puteri Maryam binti Raja Loyor atau Puteri Sa'adong. Tok Langgar seorang yang bermulut masin dari keturunan Raja Jembal. Semasa hayatnya, beliau tinggal di Jalan Langgar, Kota Bharu (berhadapan dengan Pusat Membeli-Belah Billion). Beliau kemudiannya dimakamkan bersebelahan dengan Kolam Puteri Sa'adong yang terletak di Jalan Panji, Kota Bharu, Kelantan.



Inilah makam Tok Langgar bersebelahan Kolam Puteri Sa'adong. Kini kawasan ini dijadikan tapak perumahan.

Foto ini dirakam di Jalan Panji, Kota Bharu, Kelantan pada 17.5.2008.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Makam Raja Abdullah: Padang Halban (Kota Bharu)



MAKAM RAJA ABDULLAH

KOTA BHARU, KELANTANRAJA ABDULLAH adalah Putera kepada Raja Bahar. Baginda telah berkahwin dengan sepupunya, Puteri Maryam (Puteri Sa'adong) iaitu Puteri kepada Raja Loyor (pemerintah Kerajaan Jembal Terakhir), kemudiannya menjadi anak angkat Cik Siti Wan Kembang (pemerintah Kota Tegayung di Tanah Serendah Sekebun Bunga, kini di Pangkal Kalong, Ketereh). Perkahwinan ini adalah untuk mengelakkan angkara dari Raja Siam yang berhasrat untuk memperisterikan Puteri Sa'adong.

Selepas istiadat perkahwinan, Cik Siti Wan Kembang telah menabalkan Raja Abdullah memerintah Kelantan dan menamatkan sejarah pemerintahan Kota Tegayung apabila pusat pemerintahan Raja Abdullah dan Puteri Sa'adong ke Kota Jelasin Besar. Besar kemungkinan, kuasa pemerintahan Raja Abdullah ini meliputi Kerajaan Jembal. Andaian ini berdasarkan keadaan Jembal yang tidak mempunyai pemerintahan selepas kemangkatan Raja Loyor dalam tahun 1663.

Dalam tahun 1671, Baginda Raja Abdullah telah mangkat kerana dikatakan ditikam oleh isteri Baginda sendiri iaitu Puteri Sa'adong dengan penyucuk sanggul dalam satu pergaduhan di Istana Kota Mahligai. Pergaduhan ini disebabkan kemarahan Puteri Sa'adong terhadap suaminya Raja Abdullah yang dikatakan tidak setia terhadapnya. Baginda Raja Abdullah telah dimakamkan di Kampung Padang Halban dalam daerah Melor.
(Sumber: Catatan di Papan dan Batu Asas Makam Raja Abdullah)




Inilah makam Raja Abdullah (suami Puteri Sa'adong).

Foto ini dirakam di Kampung Padang Halban, Melor, Kota Bharu, Kelantan pada 10.1.2009.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Taman Puteri Sa'adong: Pangkal Kalong (Ketereh)



TAMAN PUTERI SA'ADONG

KOTA BHARU, KELANTAN:  DALAM tahun 1791 dulu, taman ini dikenali sebagai Tanah Serendah Sekebun Bunga iaitu satu nama yang agak menarik telah diberikan oleh Cik Siti Wan Kembang (Raja dan Pemerintah Kelantan Ke-6) malah Cik Siti Wan Kembang pernah bersemayam di atas singahsana istana yang didirikan di atas bukit dalam taman ini. Cik Siti Wan Kembang yang ketika itu sedang memerintah di Gunung Chinta Wangsa (kini terletak dalam daerah Dabong, Kuala Krai).

Nama Tanah Serendah Sekebun Bunga diberikan gelaran disebabkan dataran di sebelah sini agak rata dan menarik pandangan Cik Siti Wan Kembang. Sehingga sekarang, apabila digelarkan nama negeri Kelantan, pastinya Cik Siti Wan Kembang dan Tanah Serendah Sekebun Bunga agak sinonim dengan masyarakat Kelantan. Selepas itu, Puteri Sa'adong mengambil alih taman ini lalu dijadikan sebagai taman permainannya sebagai tempat berhibur. Taman ini terletak di Kampung Serendah Sekebun Bunga, Pangkal Kalong, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan.

 
                                                   Puteri Sa'adong        Cik Siti Wan Kembang
Foto: Internet

Tanah Serendah Sekebun Bunga, kemudiannya menjadi taman permainan Puteri Sa'adong.

Tempat inilah buaian Puteri Sa'adong.

Inilah kolam tersohor milik Puteri Sa'adong berdekatan dengan tebing sungai.

Pinggan mangkuk yang pecah dicampakkan oleh Puteri Sa'adong ke tasik ini.

Inilah sebuah gua tempat Puteri Sa'adong menyimpan pinggan mangkuknya.

Tempat menambat gajah hulubalang Puteri Sa'adong.

Foto ini dirakam di Tanah Serendah Sekebun Bunga, Pangkal Kalong, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan pada 2.12.2006.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH