PONDOK LUBUK TAPAH
PASIR MAS, KELANTAN: PONDOK
Lubuk Tapah merupakan Pusat Pengajian Pondok yang terkenal di Kelantan yang
terletak dalam daerah Lemal, Pasir Mas, Kelantan. Pondok ini diasaskan oleh murid
Tok Kenali, Tuan Guru Hj. Ab. Rahman bin Hj. Che Wan di awal tahun 1931.
Anakanda beliau, Tuan Guru Hj.
Abdullah bin Hj. Ab. Rahman telah mengambil alih tempat ayahanda beliau itu
sebagai Guru dan Mudir di Pondok Lubuk Tapah ini setelah ayahandanya meninggal
dunia pada tahun 1988 sehingga sekarang.
Pondok ini letaknya di atas tanah
seluas 6 ekar malah pada masa kemuncak pondok ini pada tahun 1960-an, terdapat
seramai 150 pelajar dari seluruh Nusantara yang menuntut di pondok ini. Pada
masa pengajian, terdapat ratusan lagi pelajar yang berulang-alik ke pondok ini.
Pondok Lubuk Tapah telah melahirkan ramai alim ulama yang datang dari seluruh
Nusantara.
Lubuk Tapah terkenal disebabkan
pondoknya iaitu Pondok Lubuk Tapah di samping sebuah masjid mukim yang selalu
didatangi penduduk kampung dan pelawat-pelawat dari luar negeri.
“Tapah” adalah nama sejenis ikan
sungai yang mempunyai banyak darah. Manakala pondok ini pula terletak di tepi
sebuah anak sungai yang mempunyai sebuah lubuk (telaga dalam sungai) di mana
banyak berkeliaran ikan tapah itu.
Pada suatu ketika, Tok Kenali telah
melawat anak muridnya yang merupakan Pengasas Pondok Tapah ini iaitu Tuan Guru
Hj. Ab. Rahman bin Hj. Che Wan. Bapa beliaulah, Hj. Che Wan yang telah
mengundang Tok Kenali ke rumahnya (sebelum pondok ini didirikan).
Tok Kenali menaiki keretapi dari
stesen Palekbang ke Pasir Mas iaitu kira-kira setengah jam melalui beberapa
buah kampung, padang
dan jambatan. Apabila Tok Kenali tiba di Stesen Kereta api Pasir Mas, Tok
Kenali mendapati ramai yang sedang menunggu ketibaan beliau dan kemudian mereka
semuanya berjalan kaki mengiringi Tok Kenali dari Pasir Mas ke Pondok Lubuk
Tapah sejauh kira-kira 4 kilometer.
Tok Kenali dijemput disebabkan
masyarakat dan penduduk kampung berkenaan ingin mengenali Tok Kenali secara
lebih dekat tentang seorang yang paling alim dan apabila tiba di kampung berkenaan
beliau dihidangkan nasi dengan sayur bayam. Sesudah itu, Tok Kenali dibawa pula ke
rumah Tok Saman, bapa kepada Tuan Guru Abdullah Kampung Lati dan di sana beliau
minta dihidangkan nasi dengan berlaukkan ayam kampung. Mungkin disebabkan kedatangan
Tok Kenali menziarahi muridnya dan kampung berkenaan, maka Pondok Lubuk Tapah
terus maju sehingga hari ini.
(Sumber: Buku Detik-detik Sejarah
Hidup Tok Kenali, Ustaz ‘Abdullah Al-Qari bin Hj. Salleh (A.Q.H.A.S – cucu Tok
Kenali)
Malahan kini, Pondok Lubuk Tapah
telah diwartakan dalam kalendar Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sebagai
sebuah institusi pondok yang dapat bertahan lama dan masih aktif sehingga hari
ini disebabkan ia sebuah institusi Islam yang paling dikunjungi oleh pelawat-pelawat
dari dalam dan luar negara.
Batu asas Pondok Lubuk Tapah diwarta dalam kalendar pelancongan.
Tapak asal Pondok Lubuk Tapah yang didakwa terbakar beberapa tahun lalu.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH