JEJAK SEJARAH: Media Menjejak Abad . Majalah Maya . Paparan Foto . Kesan Peninggalan Sejarah . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Sejarah Tidak Pernah Lupa, Menyembunyikan Diri dan Berbohong Terhadap Manusia . Tetapi Manusialah Yang Sentiasa Lupa, Berbohong dan Menyembunyikan Faktanya. Editor: Azmi Mohd. Salleh

Selasa, 7 Jun 2016

Kereta Perisai Diraja Malaysia Zaman Darurat


KERETA PERISAI DIRAJA MALAYSIA
SEMASA ZAMAN DARURAT

KEDUA-DUA kereta perisai ini adalah dari jenis JMC dan Ford LYNX Scout Car yang telah memainkan peranan semasa Darurat (1948 - 1950).

Tugas-tugas yang dijalankan adalah seperti membuat rondaan di kawasan ladang-ladang, menjalankan operasi menggempur kedudukan musuh, mengadakan kawalan keselamatan semasa urusan pertukaran tugas-tugas anggota Polis, kawalan penghantaran barang makanan ke daerah-daerah, kawalan semasa pembayaran gaji, kawalan ke atas orang-orang kenamaan semasa melawat ke daerah-daerah dan berbagai lagi tugas keselamatan pada masa itu.

Kereta perisai jenis JMC diberi nama "Hang Tuah" dan jenis Ford LYNX Scout Car diberi nama "Hang Jebat" oleh Polis Diraja Malaysia Melaka sebagai lambang keperwiraan dan pengorbanan kedua-dua pahlawan Melaka di zaman silam.





Sumber:
PERBADANAN MUZIUM MELAKA

Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 6 Jun 2016

Kereta Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra


KERETA Y.T.M TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA

KERETA jenis Chevrolet bernombor BE 52 ini telah dibeli pada tahun 1957 dan digunakan semasa sambutan kemerdekaan di Kuala Lumpur.

Kereta ini digunakan untuk membawa tetamu kehormat semasa perayaan tersebut. Warna asal kereta ini ialah putih.

Sewaktu pilihanraya 1959, kereta ini telah digunakan oleh Y.T.M. Tunku Abdul Rahman untuk menjalankan kempen pilihanraya, selepas itu kereta ini digunakan oleh kerajaan persekutuan untuk membawa tetamu kehormat kerajaan.



Sumber:
PERBADANAN MUZIUM MELAKA

Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan (Melaka)


MEMORIAL PENGISYTIHARAN KEMERDEKAAN

MEMORIAL Pengisytiharan Kemerdekaan dinamakan sedemikian kerana pengumuman kemerdekaan Tanah Melayu telah dibuat oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama di Padang Pahlawan yang terletak di seberang jalan memorial ini.

Bangunan kolonial ini kini menempatkan butir-butir sejarah perjalanan negara ke arah mencapai kemerdekaan dan filem rencana mengenai peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah kemerdekaan negara turut ditayang di pawagam kecil.




Sumber:
ARKIB NEGARA MALAYSIA

Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 4 Jun 2016

Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka


MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAYU
MELAKA

BANGUNAN muzium ini merupakan replika Istana semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah (1456-1477). Ia dibina berpandukan catatan yang terdapat di dalam naskhah Sejarah Melayu serta mendapat pandangan daripada Persatuan Sejarah Malaysia (Cawangan Melaka) dan Persatuan Pelukis Melaka.

Istana ini mempunyai bumbung bertingkat dengan bumbung pertamanya adalah yang terpanjang iaitu berukuran 246 kaki panjang dan 41 kaki lebar. Ia diperkuatkan dengan empat batang tiang seri di samping lain-lain sokongan.

Bahan pembinaannya terdiri dari kayu-kayan tempatan seperti Resak, Chengal dan Nyatoh, manakala atapnya pula diperbuat dari kayu Belian yang dibawa dari Sarawak. Dinding Istana ini dihiasi dengan ukiran-ukiran indah bermotifkan tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan, antaranya ialah ukiran Ketam Buri.

Antara pameran yang menarik di muzium ini ialah diorama dan Balairong Seri, Bilik Beradu, Pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat dan bahan-bahan pameran lain seperti senjata, pakaian tradisional, seramik dan alatan tembaga.





Foto ini dirakam di Jalan Istana, Melaka Bandar Raya Bersejarah pada 23.5.2016.

Sumber:
PERBADANAN MUZIUM MELAKA

Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 2 Jun 2016

Muzium Dunia Melayu Dunia Islam



MUZIUM DUNIA MELAYU DUNIA ISLAM

BANGUNAN Bastion dipercayai dibina pada tahun 1910 dan mempunyai ciri-ciri rekabentuk senibina Inggeris. Ia juga telah menjadi saksi peristiwa pengisytiharan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu pada 22 Februari, 1956.

Ia pernah digunakan sebagai pejabat oleh pelbagai pihak swasta dan kini menjadi milik Kerajaan Negeri Melaka.

Bangunan ini kini menempatkan Muzium Dunia Melayu Dunia Islam (MDMDI) sebagai gedung mengumpul, menyimpan dan mempamerkan khazanah  dan warisan sejarah  masyarakat Melayu seluruh dunia untuk tatapan generasi sekarang dan akan datang.




 Foto ini dirakam di Jalan Kota, Melaka Bandar Raya Bersejarah pada 23.5.2016.

Sumber:
PERBADANAN MUZIUM MELAKA

Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 1 Jun 2016

Muzium Setem Melaka


MUZIUM SETEM MELAKA

BANGUNAN yang dikenali sebagai Muzium Lama Melaka atau "Sekolah Gambar", pada asalnya merupakan rumah kediaman untuk para pembesar Belanda di Melaka.

Pada 19 Mac, 1954, G.E. Wisdom yang merupakan Pesuruhjaya Residen Melaka telah menjadikan bangunan ini sebagai sebuah muzium sebelum ia dipindahkan ke bangunan Stadthuys pada tahun 1982. Kini ia menempatkan Muzium Setem Melaka.

Bangunan ini telah diwartakan oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti sebagai monumen lama mengikut Seksyen 15, Akta Bendapura 168/1976.




Sumber:
JABATAN MUZIUM DAN ANTIKUITI

Foto:
AZMI MOHD. SALLEH