KOTA BHARU, KELANTAN: RAJA ABDULLAH adalah Putera kepada Raja Bahar. Baginda telah berkahwin dengan sepupunya, Puteri Maryam (Puteri Sa'adong) iaitu Puteri kepada Raja Loyor (pemerintah Kerajaan Jembal Terakhir), kemudiannya menjadi anak angkat Cik Siti Wan Kembang (pemerintah Kota Tegayung di Tanah Serendah Sekebun Bunga, kini di Pangkal Kalong, Ketereh). Perkahwinan ini adalah untuk mengelakkan angkara dari Raja Siam yang berhasrat untuk memperisterikan Puteri Sa'adong.
Selepas istiadat perkahwinan, Cik Siti Wan Kembang telah menabalkan Raja Abdullah memerintah Kelantan dan menamatkan sejarah pemerintahan Kota Tegayung apabila pusat pemerintahan Raja Abdullah dan Puteri Sa'adong ke Kota Jelasin Besar. Besar kemungkinan, kuasa pemerintahan Raja Abdullah ini meliputi Kerajaan Jembal. Andaian ini berdasarkan keadaan Jembal yang tidak mempunyai pemerintahan selepas kemangkatan Raja Loyor dalam tahun 1663.
Dalam tahun 1671, Baginda Raja Abdullah telah mangkat kerana dikatakan ditikam oleh isteri Baginda sendiri iaitu Puteri Sa'adong dengan penyucuk sanggul dalam satu pergaduhan di Istana Kota Mahligai. Pergaduhan ini disebabkan kemarahan Puteri Sa'adong terhadap suaminya Raja Abdullah yang dikatakan tidak setia terhadapnya. Baginda Raja Abdullah telah dimakamkan di Kampung Padang Halban dalam daerah Melor.
(Sumber: Catatan di Papan dan Batu Asas Makam Raja Abdullah)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan