Halaman

Ahad, 8 September 2013

Pusat Melebur Bijih: Kg.Baru Nelayan (Tumpat)



PUSAT MELEBUR BIJIH


TUMPAT, KELANTAN:  KAMPUNG BARU NELAYAN dan Jubakar Pantai yang terletak di daerah Tumpat, Kelantan mempunyai sejarahnya yang tersendiri apabila dijadikan tempat kilang atau pusat memproses, melebur dan mencairkan bijih besi oleh sebuah syarikat Jepun di situ, antara lain pastinya akan menjadikan bahan logam itu sebagai senjata perang selain untuk diekspot.

Manakala bijih besi yang dibawa melalui pengangkutan keretapi pada tahun 1914 dari sebuah bukit lombong bijih besi dikenali Bukit Besi yang terletak di Kampung Bukit Besi, Temangan Lama, Machang kemudiannya berhenti di sebuah jeti yang terletak di sebuah pelabuhan di Pantai Sri Tujuh, Tumpat. Bijih besi ini pula kemudiannya diangkut menggunakan jentolak dari keretapi itu melalui sebuah jambatan yang dibina agak kukuh dan khusus di pelabuhan tersebut oleh beberapa orang pekerja yang terdiri daripada anak-anak tempatan kampung berkenaan.

Kesan sejarah peninggalan Jepun seperti beberapa buah kubu tentera dan tempat melebur bijih besi yang ditinggalkan syarikat Jepun terbabit masih dapat dilihat sehingga hari ini kerana binaannya agak kukuh dan tahan lama. Kebanyakan kesan-kesan sejarah berkenaan sesetengahnya telah tinggal kerangka atau serpihan yang agak terbiar, namun keadaan ini untuk menunjukkan kedua-dua buah kampung terbabit agak tersohor pada masa dulu sebagai dua buah tempat untuk melebur dan mengangkut bijih besi yang telah dimasak kemudiannya akan dibawa ke negara Matahari Terbit itu.

Menceritakan serba sedikit sejarah tentang pemerosesan bijih besi di kampung terbabit, Yaakub Haji Ibrahim, 87, atau lebih dikenali Pak Kob dari Lorong Siakap, Kampung Baru Nelayan, Tumpat, Kelantan begitu teruja ketika menerima kunjungan Wartawan RELATIF.

Menurut Pak Kob, memang sedia maklum tentang sejarah tersebut kerana beliau adalah anak jati kampung terbabit di mana pada masa itu beliau masih kanak-kanak dalam lingkungan usia 10 tahun, malah sehingga hari ini Pak Kob seorang sahaja warga emas dan penduduk asal yang masih tinggal di situ setakat ini. Katanya, pada masa itu juga terdapat hanya enam keluarga sahaja termasuk beliau menetap di kampung itu bermakna kebanyakan pekerja-pekerja di kilang melebur itu juga meliputi penduduk-penduduk dari daerah lain.

Tambahnya, walaupun peralatan melebur bijih besi yang dicipta oleh pihak Jepun adalah peralatan tradisional yang dijalankan secara manual, namun alat tersebut agak kuat dan tahan lama selain sukar rosak. Mesin ini berpusing agak laju dan apabila bijih-bijih besi dimasukkan ke dalam kawahnya, mesin akan bertindak menghancurkan dan meleburkan ketulan besi bercampur emas itu. Walaupun ketulan besi agak keras kerana telah betul-betul matang, namun kecanggihan peralatan melebur pada masa itu tidak perlu dipertikaikan untuk menunjukkan saintis Jepun dari bangsa Asia sudahpun maju berbanding bangsa Eropah.

Setelah bijih-bijih berkenaan dapat dilumatkan barulah penggunaan bahan api yang agak kuat untuk tujuan mencairkannya. Lebihan bijih-bijih itu pula akan disimpan sementara di sebuah tempat menyimpan bijih besi yang direka khusus sebelum bijih besi berkenaan diangkut ke dalam sebuah kapal yang siap menunggu di tepi Pantai Sri Tujuh untuk dibawa ke negara itu.

Kira-kira 80,000 tan bijih dapat dilebur dan dicairkan dalam satu-satu masa. Manakala terdapat dua buah kapal besar yang siap berlabuh di sebuah jeti jambatan berkenaan untuk membawa bijih yang siap diproses ke negara Jepun, di mana bijih yang siap masak ini akan melalui proses pembuatan barangan atau untuk diekspot ke lain-lain negara dalam usaha untuk mendapatkan sumber kewangan.

Menurutnya, kebanyakan pekerja yang memunggah bijih itu pula adalah terdiri daripada anak-anak Melayu tempatan yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Manakala pekerja-pekerja berkenaan dikatakan tidak mempunyai masa rehat yang mencukupi bagi memastikan bijih dapat disiapkan untuk dibawa ke negara itu. Dengan lain perkataan, pekerja-pekerja dikerah supaya bekerja siang dan malam tanpa rehat dalam usaha memenuhi kehendak syarikat tersebut.

Dari segi pendapatan sehari siang dan malam, kebanyakan pekerja berkenaan dibayar gaji sebanyak RM18 sahaja. Walaupun pada zaman itu gaji tersebut dianggap rendah apatah lagi terpaksa bekerja siang dan malam mengikut kadar yang ditetapkan, namun pada masa itu jumlah pendapatan sedemikian boleh dikatakan agak mahal dan berpatutan, apatah lagi dengan keadaan harga barangan makanan yang jauh lebih murah membolehkan pekerja terbabit berbelanja selama seminggu.

Setiap pekerja perlu memastikan kesihatan mereka tidak terganggu, kerana apabila berlakunya keadaan sedemikian akan menyebabkan kerja-kerja yang perlu dilakukan pastinya terkandas kerana ketiadaan tenaga buruh lain sebagai pengganti. Menurut Pak Kob, berlaku suatu tragedi ke atas salah seorang pekerja yang berasal dari Besut, Terengganu apabila tangannya terputus kerana terkena mesin sewaktu melakukan kerja gara-gara tidak mendapat rehat yang secukupnya.

"Ada sesetengah pekerja perlu mengawal perjalanan mesin melebur yang dituangkan dari atas. Pekerja-pekerja pada masa itu tidak mempedulikan wajah dan kulit mereka nampak hitam kerana bekerja di tempat api yang membakar agak panas", katanya.

Sambung Pak Kob lagi, kebanyakan pekerja pada masa itu kira-kira 20 orang sahaja. Selain mereka tidak mempunyai masa rehat yang mencukupi kecuali masa makan sahaja dalam usaha memastikan operasi meleburkan bijih dapat diselesaikan pada hari itu juga sebagaimana yang diarahkan. Para mandur yang bertugas akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan setiap masa supaya setiap pekerja tidak mengambil peluang untuk curi tulang dan melaporkan kepada ketua mereka.

Bijih yang telah masak dileburkan itu kemudiannya dibawa menggunakan kapal pengangkut Jepun dengan membawa muatan sejumlah 80,000 tan bijih setiap petak dalam satu-satu masa. Manakala seramai lapan orang penjaga yang dikenali sebagai mandur terdiri daripada penduduk tempatan dan mandur ini menetap di berek khas bagi menyenangkan tugas-tugas mereka sebagai mandur. Jika berlaku sebarang kerosakan bersabit dengan peralatan melebur dan sebagainya, adalah menjadi tanggungjawab mandur ini untuk melaporkannya kepada pihak pentadbiran syarikat untuk dbaiki.

Apabila ditanya, adakah pekerja-pekerja di kilang melebur itu bertindak melarikan diri disebabkan tekanan kerja yang keterlaluan, beliau berkata tidak pernah maklum tentang cerita itu. Namun menurut Pak Kob, apa yang diketahuinya pernah timbul isu konflik di kalangan sesetengah pekerja disebabkan mereka terlalu tidak bermaya kerana tidak mempunyai masa rehat yang secukupnya. Dengan itu, pekerja-pekerja itu juga tidak mempunyai selera makan yang sempurna, dengan demikian tenaga mereka juga agak berkurangan ditambah pula dengan bekalan makanan yang agak terhad turut memburukkan keadaan.

"Disebabkan hal itu, pekerja-pekerja cuba memprotes dengan merosakkan peralatan melebur itu, namun gagal disebabkan bahan-bahannya tahan risiko. Cuma beberapa peralatan lain sahaja yang dapat dimusnahkan", ujarnya.

Katanya, selepas beberapa dekad aktiviti melebur bijih beroperasi di kampung itu, akhirnya terpaksa dihentikan kerana campurtangan kerajaan dari kedua-dua negara. Akibat dari campurtangan itu aktiviti cari gali di Bukit Besi juga terpaksa dihentikan pada tahun 1930.

Justeru, hari ini menurut Pak Kob kebanyakan pekerja di kilang melebur bijih besi pada masa itu telah ramai yang meninggal dunia. Salah seorang yang turut dikenali sebagai "Pak Kob" juga telah meninggal dalam usia 60 tahun termasuk pekerja buruh yang berasal dari Pulau Nangka dan dari Besut di Terengganu itu disebabkan faktor usia.           

Yaakub Haji Ibrahim atau Pak Kob.

Pak Kob ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.



Bijih besi yang siap dilebur dan dicairkan akan disimpan sementara dalam terowong ini.

Bijih besi yang belum dan telah siap akan diangkut melalui laluan ini.


Kerangka atau serpihan tiang jambatan dari jeti pelabuhan Pantai Sri Tujuh masih lagi kelihatan sehingga hari ini.

Kapal muatan bijih besi menunggu di jeti pelabuhan Pantai Sri Tujuh ini.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

5 ulasan: