KOLAM PUTERI SA'ADONG
WAKAF BAHARU, KELANTAN: Terdapat beberapa buah kolam yang sering digunakan oleh Puteri Sa'adong ketika zaman remajanya sehingga Baginda menjadi Permaisuri Raja Abdullah yang pernah ditemui seperti kolam terbesar terletak di Kampung Pangkal Kalong, Ketereh, kolam di Jalan Panji dan terbaru yang ditemui di Kampung Kutan Hilir, Wakaf Baharu, Kelantan. Kolam ini terletak berhampiran dengan sebatang sungai yang sering digunakan oleh Baginda, pedagang-pedagang lain yang menyusurinya serta penduduk-penduduk kampung terbabit.
Seorang penduduk kampung terbabit yang sempat ditemui Wartawan JEJAK SEJARAH, Wan Hanafi Wan Isa berkata, kolam mandi tempat Puteri Sa'adong bersiram juga ada di kampungnya itu. Kolam yang dimaksudkan itu memang ternyata agak besar, tetapi kini telah didapati tertimbus berikutan kerja-kerja terhadap kawasan tanah terbabit.
"Jika dilihat, seolah-olah sebatang parit, namun disebabkan faktor tanah yang semakin turun menyebabkan kolam itu semakin sempit", katanya.
Katanya lagi, kolam itu telah ditemui oleh salah seorang penduduk kampungnya yang kini telah meninggal beberapa tahun lalu. Jika arwah tidak memaklumkan tentangnya, sudah tentu beliau sendiri tidak mengetahui tentang wujudnya kolam lama berusia lebih 200 tahun lalu di situ.
Menurut Wan Hanafi, pada masa dulu jalan darat masih tidak berfungsi tidak sebagaimana di zaman moden ini. Justeru, alternatif yang sering digunakan oleh penduduk-penduduk pada masa itu termasuk Puteri Sa'adong sendiri yang menggunakan laluan berkenaan. Maka sungai yang berhampiran dengan kolam itu adalah laluan alternatif yang lazim digunakan oleh Puteri Sa'adong.
"Mungkin juga wujudnya kolam seumpama itu berdekatan dengan sungai bagi memudahkan Baginda membersih dan mencuci diri dan sejak itu kolam itu begitu tersohor di situ", ujarnya.
Sambung Wan Hanafi lagi, pernah bahtera yang dinaiki Baginda dikenali "Jong Kapa Ulana" telah karam kerana bertembung dengan ombak dan air berpusar di kawasan muara sungai. Beliau membawa Wartawan JEJAK SEJARAH ke lokasi muara sungai yang dimaksudkan.
Apabila ditanya, mungkin wujudnya keturunan atau generasi Puteri Sa'adong di kampung itu selepas Baginda wafat, beliau menafikannya. Katanya, setakat yang beliau dapat tahu dari beberapa penduduk kampung, tidak mungkin ada generasi Baginda di kampung itu. Kehadiran Baginda menyusuri sungai itu atas kapasiti Baginda sebagai seorang raja dan pemerintah sahaja.
Wan Hanafi Wan Isa.
Wan Hanafi Wan Isa ketika ditemubual Wartawan JEJAK SEJARAH.
Kolam mandi Puteri Sa'adong.
Sungai yang dimaksudkan.
Muara sungai inilah menyebabkan Jong Kapa Ulana yang dinaiki Puteri Sa'adong karam.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Masa kecil saya bermain di kolam Puteei Saadong dengan 2 pupu saya iaitu anak Pakcik Wan Hanafi ni. Masa tu keadaan kolam tu macam bersih dan bentuk nya berpetak dan ada anak tangga utk turun ke kolam tersebut. Kolam tu berada di belakang rumah Makcik Nija yg jg guru mengaji Al Quran. Masa tu dalam tahun 80an kolam tu masih berkeadaan baik dan bersih.
BalasPadam