JEJAK SEJARAH: Media Menjejak Abad . Majalah Maya . Paparan Foto . Kesan Peninggalan Sejarah . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Sejarah Tidak Pernah Lupa, Menyembunyikan Diri dan Berbohong Terhadap Manusia . Tetapi Manusialah Yang Sentiasa Lupa, Berbohong dan Menyembunyikan Faktanya. Editor: Azmi Mohd. Salleh

Sabtu, 5 Julai 2014

Kota Gua: Kg.Padang Pak Amin (Pasir Mas)


KOTA GUA

PASIR MAS, KELANTAN: Di tebing sungai Kelantan yang terletak di Kampung Padang Pak Amin di zaman Cik Siti Wan Kembang (Pemerintah dan Raja Kelantan Ke-6) dulu merupakan sebuah kota yang tenggelam oleh air Sungai Kelantan yang sering pasang surut. Pada masa itu, keadaan sungai terbabit agak jernih, malah ikan-ikan yang berenang di sungai berkenaan boleh dilihat dengan jelas, tidak sebagaimana hari ini apabila keadaan sungainya yang agak keruh dan berkelodak disebabkan banyak aktiviti berhampiran tebingnya.

Seorang penduduk, Owe Cheng Huai dari Kampung Sakar Sungai, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan JEJAK SEJARAH berkata, dia pada mulanya tidak mempercayainya tentang kewujudan Kota Gua yang dimaksudkan itu. Tetapi setelah ditunjukkan oleh salah seorang penduduk bernama Pak Mat beliau mula mempercayainya. Apa yang menariknya, beliau dapat melihat sendiri kota berkenaan yang tenggelam di kedalaman air sungai di samping penutup pintu kota tersebut yang diperbuat daripada emas tulen berbentuk kijang.

Selain itu menurutnya, beliau mendapat tahu cerita Cik Siti Wan Kembang yang menyusuri sungai tersebut telah karam kira-kira 500 meter dari tempat Pulau Batu Hampar dan Kota Gua itu. Mungkin menurutnya, disebabkan bahtera yang dinaiki Cik Siti Wan Kembang dikenali Jong Kapa Ulana sebagai penyebab penemuan beberapa syiling emas berlogo kijang dan syiling berlubang yang terkenal pada masa itu.

Katanya, di dasar Sungai Kelantan berhampiran Kampung Padang Pak Amin itu bukan sahaja kaya dengan artifak lama di zaman Cik Wan Kembang seperti wang syiling emas, tetapi amat kaya dengan emas tulen dan bermutu tinggi. Emas itu terletak di sebuah tempat dikenali Pulau Batu Hampar. Batu hampar itulah yang menaungi dan melindungi khazanah yang berharga dari bumi di kampung itu. Katanya, ketika zaman remajanya pernah beberapa penduduk kampung cuba menggali emas-emas di kawasan batu hampar itu tetapi apalah kekuatan manusia untuk mengambilnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang penemuan artifak lama dan syiling emas seolah-olah di zaman Kelantan purba yang banyak ditemui di sungai berkenaan sejak tahun 2013 yang lalu sehinggakan menjadi tumpuan pengunjung dari serata Kelantan termasuk dari luar Kelantan.

Justeru, amat jelas negeri Kelantan sememangnya amat kaya dengan khazanah berharga dari bumi yang tidak cuba digali untuk keperluan kepada rakyatnya sendiri, yang akhirnya rakyatnya sendiri berputih mata apabila segala hasil bumi itu mengalir ke luar Kelantan. Ruginya ialah rakyatnya yang tidak menyedari percaturan itu dan yang untungnya ialah pihak lain.

Owe Cheng Huai.

Owe Cheng Huai ketika ditemubual oleh Wartawan JEJAK SEJARAH.

Kota Gua di Kampung Padang Pak Amin.

Owe Cheng Huai sedang menunjukkan arah Kota Gua yang dimaksudkan.

Pulau Batu Hampar.

Owe Cheng Huai sedang menunjukkan arah Pulau Batu Hampar.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan