JEJAK SEJARAH: Media Menjejak Abad . Majalah Maya . Paparan Foto . Kesan Peninggalan Sejarah . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Sejarah Tidak Pernah Lupa, Menyembunyikan Diri dan Berbohong Terhadap Manusia . Tetapi Manusialah Yang Sentiasa Lupa, Berbohong dan Menyembunyikan Faktanya. Editor: Azmi Mohd. Salleh

Jumaat, 13 September 2013

Makam Tok Kenali: Kg. Kenali (Kota Bharu)



MAKAM TOK KENALI

KOTA BHARU, KELANTAN:  NAMA sebenar Tok Kenali (1870-1933) ialah Muhammad Yusof bin Ahmad dilahirkan di belakang Masjid Shaalihiy (masjid lama), Kubang Kerian atau dulunya dikenali sebagai Kampung Kenali pada tahun 1870 Masihi (1287 Hijrah). Beliau lebih dikenali sebagai “Awang” dan kemudiannya disebut “Awang Kenali” (panggilan manja kepada seorang anak lelaki). Ibunya bernama Hajjah Fatimah manakala bapanya Ahmad adalah seorang petani juga mempunyai sedikit sebanyak ilmu pengetahuan beragama.

Tok Kenali mendapat pendidikan menulis daripada datuknya sendiri, Tok Leh (seorang Imam dan lebai iaitu orang yang kuat beragama) di Kampung Kenali sebelum perang Jepun. Selain itu, Tok Kenali juga diajar membaca Al-Quran selain menulis jawi. Dikatakan juga penulisan jawinya agak pantas.

Setelah bapanya meninggal dunia, Tok Kenali terus di bawah jagaan datuknya dan turut diasuh oleh neneknya yang tiri, Tok Mek Ngah (Mak Kecik) selain turut diawasi oleh ibunya Hajjah Fatimah. Tok Kenali yang diasuh oleh Tok Mek Ngah bagaikan “menatang minyak yang penuh” apabila setiap makanan yang dihidangkan dimasaknya sendiri kerana dianggap secara fitrahnya lebih bersih dan untuk mengelakkan makanan haram dan syubhat dari makanan di luar.

Ketika usianya 7 tahun, Tok Kenali telah dilantik oleh seorang Penggawa (Tok Kuwen) menjadi seorang kerani “hasil tanah” di mana tugasnya ialah memungut hasil tanah, hasil tanaman dan perkebunan iaitu seorang pemilik tanah mesti membayar hasil tanaman atau pengeluaran dari kebun mengikut kadar hasil atau jumlah padi, durian dan kelapa. Tugas Tok Kenali juga untuk membilang dan mendaftar pokok buah-buahan dan tanaman rakyat di kawasan masing-masing.

Tok Kenali mula-mula menimba ilmu di rumah Encik Ismail, seorang ulama terbilang (Datuk Perdana Paduka Raja iaitu bapa Mufti Syeikh Ab. Rahim). Di sini Tok Kenali mempelajari kunci ilmu pengetahuan, ilmu Nahu dan Sharafnya.

Tok Kenali juga mempelajari ilmu di Pondok Tuan Guru Haji Ibrahim di Sungai Budor, Kota Bharu selain Tuan Haji Ab. Samad bin Mohd. Shaalih (Tuan Tabal – 1816 hingga1891 Masihi) dan Haji Wan Ismail Haji Wan Senik, Langgar, Kota Bharu.

Ketika usia Tok Kenali 16 tahun, beliau mendirikan rumahtangga dengan anak perempuan Haji Shaalih Janggut bernama Mek Nik. Namun, bahtera rumahtangga tidak kekal lama dan ketika yang sama kedua-dua datuknya telah pulang menghadap Illahi. Tinggallah Tok Kenali seorang diri. Disebabkan perceraian inilah, Tok Kenali menyambung pelajaran ke Mekah.
 
Pada tahun 1887 Masihi (1305 Hijrah), iaitu ketika usia Tok Kenali menjengah 18 tahun, Tok Kenali belayar ke Tanah Suci Mekah dengan tujuan untuk melanjutkan pelajaran Agama di samping melaksanakan Rukun Islam yang kelima. Beliau ke sana hanya berbekalkan wang pemberian daripada ibunya bernilai RM22-00. Namun, disebabkan keberkatan Tok Kenali, beliau menerima RM50-00 daripada sahabat handainya di sana. Tempoh Tok Kenali belajar di Mekah selama 22 tahun.

Di antara Tuan Guru yang paling disayangi Tok Kenali ialah Wan Ahmad bin Muhammad Zain bin Mushtafa Al-Fatani yang digelarkan “Tok Guru Wan Ngah”, seorang ulama besar dan Pengarang Melayu yang terkenal. Namanya tersohor bukan sahaja di Tanah Suci Mekah tetapi juga sampai ke negeri Fatani, Malaysia, Indonesia, Kemboja dan lain-lainnya. Manakala pelajaran yang menarik perhatian Tok Kenali seperti Ilmu Nahu, Tauhid, Fiqh, Tasauf dan Tafsir Al-Quran.

Berikut adalah guru-guru Tok Kenali sebelum beliau ke Tanah Suci iaitu Tuan Guru Haji Ab. Samad bin Muhammad Shaalih (Tuan Tabal), Tuan Guru Haji Ibrahim bin Yusof (Sungai Budor), Tuan Guru Haji Muhammad atau Haji Yaakub bin Abdul Halim (Tuan Padang), Tuan Guru Haji Abbas (Atas Paloh), Datuk Haji Ab. Malik bin Musa (Hakim Johor), Tuan Haji Awang (Atas Banggol), dan Tuan Haji Nik Daud.

Guru-guru Tok Kenali yang berasal dari nusantara yang mengajar di Masjid Al-Haram adalah terdiri daripada Tuan Guru Wan Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa Al-Fatani (Tok Guru Wan Ngah), Asy-Syeikh Mukhtar Ataarid Al-Jaawiy Al-Bataawiy Al-Buqari (Bogor), Asy-Syeikh Ahmad bin Ab. Latif Al-Khatib bin Abdullah Al-Mankabawiy Al-Jaawiy (Minangkabau), Tuan Guru Haji Wan Ali Kutan (1253-1305 H), Asy-Syeikh Muhammad bin Ismail Daud Al-Fatani dan Tuan Guru Haji Muhammad bin Daud (Tok Api).

Manakala guru-guru Tok Kenali semasa berada di Tanah Suci Mekah adalah terdiri daripada Al-Allamah Asy-Syeikh Hasbullah (Mesir), Al-Allamah Asy-Syeikh ‘Ubaid (Mufti Mazhab Maliki), Al-Allamah Asy-Syeikh Muhammad Amin (Imam Mazhab Hanafi), Al-Allamah Asy-Syeikh As-Sayyid Bakri, Al-Allamah Asy-Syeikh Muhammad Yusof Al-Khayaat, Al-Allamah As-Sayyid Abdullah bin As-Sayyid Muhammad Shaalih Az-Zawawi (Mufti Mekah dan guru di Masjid Al-Haram).

Berkat rumahtangga yang bahagia hasil perkahwinannya dengan Hajjah Ruqayyah, Tok Kenali dikurniakan empat orang putera yang diberikan pendidikan Islam yang turut menjadi orang alim, guru, pendidik, ustaz dan pendakwah seperti Tuan Guru Haji Ahmad (1909 – 1979), Tuan Guru Haji Muhd. Shaalih (1911 – 1984), Tuan Haji Mahmud (Lahir 1913) dan Ustaz Haji Abdullah Zawawi (Lahir 1926).

Sementara itu, murid-murid Tok Kenali adalah terdiri daripada Pahlawan Mat Kelantan (berusia 152 tahun), Tuan Haji Ahmad bin Ismail (Datuk Lela Negara dan Tokoh Penulis), Tuan Guru Haji Ali Solahuddin atau Tok Syibawaih (Pulau Pisang), Lebai Ahmad (Mat Tokba), Tuan Guru Haji Muhammad bin Haji Yusof (meninggal 16 Ramadan, 1391 H). Lain-lain murid Tok Kenali seperti Tuan Guru Haji Muhd. Nor bin Abdullah (But), Tuan Guru Haji Ab. Qadir bin Sulaiman (Melor), Tuan Guru Haji Ismail Yusof (Mufti), Tuan Guru Haji Yaakub bin Ismail (Legor, Siam), Tuan Guru Haji Abdullah Tahir bin Haji Ahmad (Bunut Payong), Tuan Guru Haji Ahmad bin Idris (Pauh), Tuan Guru Haji Yaakub bin Haji Ahmad (Lorong Gajah Mati, Kota Bharu) dan Tuan Guru Haji Daud bin Haji Umar (Bukit Abal, Pasir Puteh).

Murid-murid Tok Kenali yang menjadi Mufti terdiri daripada Saahib As-Samaahah Datuk Haji Ahmad Maher bin Haji Ismail (Mufti Kerajaan Kelantan: 1946-1968), Saahib As-Samaahah Datuk Mufti Haji Ismail bin Yusof (Mufti Kerajaan Kelantan: 1987-1988), Saahib As-Samaahah Tuan Haji Hassan bin Abu Bakr (Mufti Kerajaan Melaka), Saahib As-Samaahah Tuan Haji Ab. Jalil bin Ismail (Mufti Kerajaan Selangor), Saahib As-Samaahah Tuan Dzu Al-Mukhtashar bin Dzu Al-Fudhail (Mufti Jawa Tengah), Saahib As-Samaahah Tuan Haji Ab. Samad (Mufti Pontianak, Kalimantan Barat) dan Saahib As-Samaahah Tuan Haji Ab. Rahman (Mufti Mempawah, Kalimantan Barat).

Murid-murid Tok Kenali yang menjadi Kadi (Hakim Syariah Islam) terdiri daripada Saahib Al-Fadhillah Encik Ali (Muar, Johor) dan Saahib Al-Fadhillah Encik Hasan bin Haji Muhammad (Sumatera).

Murid-murid Tok Kenali yang menjadi Pengarang (media persuratan atau penulisan dan dakwah menerusi lisan) seperti Dr. Asy-Syeikh Muhd. Idris Al-Marbawiy (Tokoh Pertama Ma’al Hijrah: 1896-1989), Asy-Syeikh Uthman Jalaluddin Al-Kilantani (1867-1952), Tuan Guru Haji Abdullah Tahir bin Haji Ahmad (1315-1381), Saahib As-Samaahah Datuk Mufti Haji Ismail bin Yusof, Yang Berhormat Datuk Haji Hassan Yunus Al-Azahari (Menteri Besar Johor), Tuan Guru Haji Ali Solahuddin bin Awang (1902-1968), Tuan Guru Haji As’ad bin Haji Daud (1886-1941), Tuan Guru Haji Yaakub bin Haji Ahmad (1893-1956), Tuan Guru Haji Daud bin Haji Umar (Bukit Abal, 1901-1976), Tuan Guru Haji Ya’quub bin Ismail (Legor, Siam), Al-Adiib Tuan Haji Ahmad bin Ismail (Datuk Lela Negara), Al-Adiib Ab. Qaadir Adabi bin Muhammad, Al-Adiib Ustaz Haji Harun bin Muhammad Al-Kilantani (Pulau Pinang), Al-Adiib Kiyai Tuan Haji Abdullah bin Nuh (Indonesia), Saahib As-Smaahah Datuk Mufti Haji Ahmad Maher bin Haji Ismail dan Tuan Guru Haji Ab. Rahman (Lubuk Tapah, Pasir Mas).

Manakala tentang gelaran Serambi Mekah pula: kalau di abad ke-17 Masehi, Aceh terkenal dengan gelaran Serambi Mekah disebabkan tempat laluan ilmu sebelum menyambungnya ke Mekah. Tetapi peranan berkenaan diambil pula oleh Kelantan pada abad ke-20 yang terkenal sebagai Serambi Mekah yang dimainkan oleh Tok Kenali dan murid-muridnya.

Tok Kenali menghadap Illahi sebagai Wali Allah yang agong. Seorang yang muhyiddin dan mussawwir pada tanggal 19.11.1933 dalam usia 65 tahun. Kira-kira 2,500 orang hadir dan lebih kurang 1,000 orang menyembahyangkan jenazahnya di hari kewafatannya.

Tok Kenali.
Sumber Foto: Internet.


Inilah Makam Tok Kenali. Foto ini dirakam pada 13.1.2011 (jam 11.30 malam) ketika Penulis menziarahi makamnya pada tarikh tersebut.

Duduk Hadapan (dari kiri): Tok Kenali bersama Pendita Za'aba (bertongkat)
Berdiri Belakang: Datuk Lela Negara (baju kot, dua dari kiri) dan Tok Selehong (sebelahnya).

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rujukan:
Buku “Detik-detik Sejarah Hidup Tok Kenali”,Ustaz Haji Abdullah Al-Qari bin Haji Salleh (A.Q.H.A.S – cucu Tok Kenali), Kelantan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan