JEJAK SEJARAH: Media Menjejak Abad . Majalah Maya . Paparan Foto . Kesan Peninggalan Sejarah . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Sejarah Tidak Pernah Lupa, Menyembunyikan Diri dan Berbohong Terhadap Manusia . Tetapi Manusialah Yang Sentiasa Lupa, Berbohong dan Menyembunyikan Faktanya. Editor: Azmi Mohd. Salleh

Khamis, 12 September 2013

Perigi Jepun: Kg.Sungai Nyior (Palekbang)


PERIGI JEPUN

TUMPAT, KELANTAN:  HEBOH satu Malaysia pada tahun 2012 lalu kononnya ada pihak telah menemui terowong yang dibina oleh pihak Jepun yang terletak di Kampung Sungai Nyior, Palekbang, Tumpat, Kelantan. Disebabkan dakwaan itu, ramai pihak yang berkampung di kampung terbabit semata-mata ingin melihat terowong yang sesetengah pihak mendakwa terowong tersebut adalah laluan bawah tanah sehingga ke Tak Bai, Thailand. Tidak kurang pula yang mendakwa, terowong itu mengandungi khazanah bumi yang paling berharga, kalau tidak emas mungkin juga bijih besi. Malah tidak kurang juga yang memberikan saranan supaya pengunjung ke situ perlu berhati-hati kerana dibimbangi terdapatnya bom peninggalan zaman Jepun yang tidak meletup tetapi masih aktif.

Salah seorang warga emas, Mohd. Nor Awang, 72, atau lebih dikenali sebagai Pak Nor yang merupakan penduduk jati kampung terbabit menafikan wujudnya terowong di kampung berkenaan ketika zaman Jepun itu. Katanya, dakwaan kononnya wujudnya terowong yang terletak berhampiran dengan landasan keretapi di Kampung Sungai Nyior itu adalah beberapa buah perigi milik Jepun semata-mata.

“Bukannya terowong, tetapi perigi yang dibina oleh pihak Jepun menggunakan tenaga pemuda-pemuda Melayu dari kampung ini”, katanya.

Tambahnya, salah satu punca empat buah perigi itu digali di kawasan itu disebabkan sejak awal lagi pihak Jepun telah pun membina penginapan (berek) pekerja di mana kesan tapak penginapan terbabit masih lagi wujud sehingga hari ini. Beliau mengetahui cerita ini disebabkan, ketika Jepun menjadikan kawasan berkenaan sebagai penginapan pekerja, beliau ketika itu masih kanak-kanak dalam lingkungan usia kira-kira 6 tahun yang menjadi penjaja kuih-kuih tradisional Kelantan kepada pihak Jepun.

Menurutnya lagi, di kawasan lapang berhampiran dengan perigi yang didakwa terowong itu adalah tempat longgokan bijih besi yang didatangkan dari lombong Bukit Besi yang terletak di Kampung Temangan Lama (kini Kampung Bukit Besi) dalam daerah Machang. Katanya, pembinaan perigi amat perlu bagi pihak Jepun untuk mendapatkan bekalan air yang disalurkan dari Sungai Palekbang. Adalah amat mustahil bekalan air dperolehi terus dari sungai berkenaan kerana dianggap jauh, justeru dengan pembinaan perigi tersebut dapatlah bekalan air diperolehi dengan mudah.

Pak Nor menambah, selain itu kampung itu juga amat tersohor di zaman Jepun apabila diwujudkan bengkel membaikpulih keretapi. Ini katanya, apabila keretapi mengalami kerosakan, akan dibawa ke tempat itu. Justeru, penggunaan air yang banyak amat diperlukan untuk tujuan mencuci peralatan yang kotor dan tercemar. Sebuah perigi besar selain tiga perigi lain di kawasan yang sama masih wujud sehingga hari ini yang terletak berhampiran dengan kediaman Pak Nor.

“Kawasan simpanan bijih besi di kawasan lapang itu dikenali sebagai “Pinako” dan boleh jadi juga dianggap sebagai bengkel keretapi Jepun”, katanya menambah.

Selepas beberapa dekad lamanya bijih besi yang dilonggok dan disimpan di kawasan lapang di kampung itu sehingga ketinggiannya mencecah pokok kelapa, akhirnya bijih besi yang dimaksudkan itu terus dibawa ke tempat memproses dan mencairkannya yang terletak di Jubakar Pantai untuk dibawa terus ke Negara Matahari Terbit itu, akhirnya kawasan lapang itu menjadi kosong.

“Perigi itu digali sebagai sumber air minuman pekerja-pekerja dan untuk bekalan ke penginapan pekerja itu. Jika perigi tidak disediakan, bagaimana bekalan air bersih dapat diambil?” ujarnya.

Kata Pak Nor, kesan pejabat atau bengkel membaikpulih keretapi tidak lagi wujud hari ini. Namun, tapak bangunan dan berek pekerja masih ada kesannya yang terletak berhampiran dengan perigi kedua, ketiga dan keempat. Manakala sebuah lagi perigi sebagai tempat mengisi minyak atau tapak minyak keretapi itu pula terletak berhampiran dengan Balai Polis Tumpat itu.

Pak Nor menambah, Jepun tidak mempunyai masa untuk membina terowong kalau berdasarkan kepada kelengkapan mereka di negara ini, berbanding di negara mereka. Katanya, Jepun hanya mampu menggali perigi itu lalu memasang beberapa batang paip dari Sungai Palekbang untuk digunakan di kawasan berkenaan (menyedut air sungai ke dalam perigi tersebut) sebagai “lubang nafas”.

Menurutnya lagi, ketika serangan Jepun di kampung terbabit, banyak bom digugurkan oleh tentera udara Jepun. Namun, sebiji bom yang digugurkan ketika itu menyebabkan landasan keretapi musnah. Malah didakwa dua biji bom yang digugurkan di kawasan sekitar Kampung Sungai Nyior itu didapati tidak meletup dan bom itu kemudiannya ditemui oleh beberapa penduduk dari kampung terbabit. Namun, dua bom itu kemudiannya diletupkan oleh pihak British setelah dilaporkan oleh penduduk-penduduk kampung kepada tentera British selepas pihak berkenaan mengambil alih dari tangan Jepun yang telah menyerah kalah pada tahun 1945.

Justeru, jelaslah empat buah perigi yang terdapat di Kampung Sungai Nyior, Palekbang, Tumpat, Kelantan dan sebuah lagi di Tumpat bukanlah terowong sebagai laluan bawah tanah pihak Jepun. Sifat terowong sebenar ialah mendatar atau memanjang malah mempunyai tangga di dalamnya jika ia dibina secara menegak. Penulis difahamkan, dua daerah di negeri ini yang didakwa mempunyai terowong terletak di Kampung Bukit Besi (Temangan Lama, Machang) dan di Batu Melintang, Jeli, Kelantan.


Mohd. Nor bin Awang atau Pak Nor.

Pak Nor ketika menceritakan tentang perigi Jepun itu.

Perigi terawal dibina pihak Jepun di laluan ke kediaman Pak Nor.


Inilah perigi yang didakwa sebagai terowong.


Perigi ini terletak berdekatan dengan penginapan (berek) pekerja.

Tapak asal penginapan (berek) pekerja masih kekal sehingga hari ini.

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Foto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

1 ulasan: