KUALA KRAI, KELANTAN: KAMPUNG BATU BALAI
mendapat nama berikutan penemuan sebongkah batu yang agak besar,
anehnya batu tersebut hanya hidup dan membesar sendirian di kawasan itu
sahaja. Batu tersebut dikenali sebagai "batu balai" dan panjangnya lebih
kurang sedepa.
Sejarah dinamakan Kampung Batu Balai adalah berpunca dari nama batu
itulah. Pada masa dulu, keadaan batu balai itu agak tinggi yang boleh
memuatkan satu hidangan seramai lima orang, disebabkan kepercayaan
tahyul penduduk setempat pada waktu itu, jika ada penduduk yang kurang
sihat seperti demam misalnya, maka batu balailah tempat mereka
mendapatkan rawatan dengan katanya, "sekiranya demam ini sembuh, mereka
akan meletakkan panji".
Menurut seorang penduduk asal Kampung Batu Balai yang merupakan seorang bekas askar Melayu dari generasi ketiga, Haji Daud bin Che Leh, 78, atau lebih dikenali sebagai Pak Tua berkata, batu balai berkenaan ditemui oleh peneroka
awal, Dameh bin Muda dan selepas itu Tok Hamat dan Tok Jenal yang telah
menamakan kampung berkenaan. Mereka kemudiannya turut membina rumah dan
menanam padi, sebahagian tanahnya telah dijadikan perkampungan dan tanah
perkuburan.
"Seingat pakcik, tanaman getah baru diperkenalkan di Kampung Batu Balai
pada tahun 1938. Ketiga-tiga mereka adalah penduduk asal Kampung Batu
Balai ini.
Katanya, pada masa sebelum penemuan bongkah batu balai dan dinamakan Kampung Batu Balai, nama asal kampung berkenaan dikenali sebagai Sungai Pangang (dialek Kelantan: Sungai Pange) kerana penghuni asalnya ialah orang asli keturunan Pangang mendiami kawasan terbabit. Keadaan hutan pada masa itu agak tebal malah turut dihuni pelbagai spesis haiwan buas seperti harimau dan gajah. Malah katanya, ketika usia remaja Pak Tua, haiwan buas itu masih lagi tinggal dalam hutan berkenaan sehinggalah Kampung Batu Balai diteroka dan mendapat nama.
Bicara Pak Tua, beliau pernah memburu harimau dan gajah yang cuba mengganggu perkampungan berkenaan ketika itu. Salah satu sebabnya, harimau terbabit pernah membaham lembu yang diternaknya, harimau tersebut terus ditembak. Begitu banyak monyet yang mengganggu gugusan kelapa di kampung itu terpaksa ditembak, jika tidak beliau tidak akan dapat menikmati hasil buahnya akibat gangguan haiwan tersebut yang datang dari kawasan Kampung Aril, Besut, Terengganu. Sehingga hari ini katanya, haiwan tersebut tidak lagi mengganggu ketenangan dan ketenteraman panduduk di Kampung Batai Balai.
Katanya menambah, Dameh bin Muda adalah seorang pemuda yang berani dan gagah. Beliau didakwa seorang anak berdarah panglima dikenali Panglima Mamat dari Pengkalan Datu dekat Kedai Lalat, Kota Bharu. Kini, keluarga ketiga-tiga peneroka tersebut sudahpun meninggal dunia dan kini Batu Balai diwarisi oleh Pak Tua dari generasi ketiga iaitu cucu Dameh bin Muda.
Sambungnya, Kampung Batu Balai mempunyai keluasan kira-kira 6.44 kilometer (4 batu). Ketika kedatangan Inggeris yang menempatkan askar Gurkha dan Bintang Tiga, ketiga-tiga pihak berkenaan memang mengetahui tentang Kampung Batu Balai ketika itu yang letaknya dalam Mukim Senok.
Katanya, antara kampung yang bernaung di bawah Kampung Batu Balai terdiri dari Kampung Belukar Tebu, Kampung Paloh, Kampung Bukit Batu, Kampung Bukit Jambu, Kampung Tengah dan Kampung Surau. Kampung Belukar Tebu dan Kampung Batu Balai pernah menjadi tempat laluan tentera Jepun yang mendirikan markas mereka di Kuala Krai ketika penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua pada tahun 1941.
Jelas Pak Tua, kebanyakan aktiviti penduduk Kampung Batu Balai sekarang adalah rata-ratanya sebagai pekerja buruh seperti pekerja balak dan terdapat juga sebagai pekerja pejabat dan pekerja kampung. Jumlah penduduk Kampung Batu Balai menurut bancian terbaru kira-kira 500 buah rumah.
Apabila ditanya, adakah bongkah batu yang dinamakan batu balai itu pernah dihanyutkan air dari sebuah bukit. Pak Tua menjelaskan, batu balai bukan dihanyutkan air dari sebuah bukit tetapi batu balai memang wujud di situ sejak dulu lagi. Bezanya batu balai pada masa dulu agak besar dan tinggi, tetapi bagi individu yang ingin menapak di atasnya perlu memanjatnya. Malahm pada masa dulu, batu balai boleh memuatkan satu jamuan seramai lima orang di atasnya. Tetapi kini, batu balai telah semakin landai dan turun akibat perubatan alam dan struktur tanah yang semakin turun.
"Ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu, nama Kampung Batu Balai telah wujud dalam peta pihak tentera Jepun. Mereka masuk mengikut Sungai Batu Katak dan dari sungai itu tentera Jepun menyusur melalui hutan belantara ke laluan Kampung Batu Balai untuk ke markas mereka di Kuala Krai.
"Asal nama Kuala Krai telah diabadikan oleh seorang Ketua Tentera Jepun dikenali oleh penduduk-penduduk kampung sebagai "Tuan Klepek". Ketika kedatangan Jepun, pakcik ketika itu dalam lingkungan kanak-kanak berusia 10 tahun. Kain sarung sering diletakkan di atas bahu", ujarnya.
Katanya, pihak tentera Jepun tidak pernah menjadikan Kampung Batu Balai sebagai markas atau penempatan, tetapi sekadar sebagai laluan singkat tentera dari negara Matahari Terbit itu untuk ke markas mereka yang pada masa itu terletak di Hospital Besar Kuala Krai, tentera Jepun mengajar kawat kepada tentera mereka di situ. Kampung Batu Balai ketika itu telah dijadikan sebagai kawasan penanaman padi dan padi hidup subur di kawasan itu. Arwah bapanya banyak menyimpan batu dalam jumlah beribu-ribu gantang. Ini bermakna, ibu dan bapanya tidak pernah membeli beras untuk simpanan makanan kerana telah mengusahakan sendiri padi yang dianggap berkoyan-koyan dan tidak habis makan.
Tambahnya, dalam mengusahakan padi, dari proses menyemai, menanam, mengetam dan menumbuk padi (menggunakan lesung lama) adalah amalan yang sering dilakukan di Kampung Batu Balai pada masa itu. Aktiviti menumbuk menggunakan lesung kini masih lagi diamalkan di rumah panjang di Sabah ketika ini.
Sambung Pak Tua, ketika Jepun menjajah Malaya terutamanya di Kuala Krai, kebanyakan penduduk di Kampung Batu Balai dapat makan hasil padi yang diusahakan kerana penduduk di kampung berkenaan agak cerdik dengan menyorok padi terbabit untuk digunakan ketika waktu darurat terutamanya ketika pemerintahan Jepun itu, Ketika Jepun menjajah Tanah Melayu pada tahun 1941 terutamanya di Kuala Krai, usianya ketika itu dalam lingkungan 10 tahun.
Selepas Jepun menyerah kalah pada tahun 1945 dan mereka meninggalkan Tanah Melayu apatah lagi British juga turut meninggalkan Tanah Melayu, pada masa itu seingat beliau askar Melayu hanya tujuh anggota sahaja yang diambil oleh pihak British sebagai percubaan.
Papan tanda menghala ke Batu Balai.
Inilah batu balai yang dimaksudkan.
Haji Daud bin Che Leh atau Pak Tua.
Pak Tua ketika menceritakan sejarah Kampung Batu Balai.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan