IPOH, PERAK: DALAM sejarah Negeri Perak
Darul Redzuan memang tersohor dengan perlombongan bijih timah terbesar yang
terletak di Larut, Perak menggunakan kapal korek sebagai suatu alat untuk
menggali khazanah berharga dari perut bumi di tempat terbabit. Tetapi tahukah
anda bahawa, penggunaan kapal korek untuk melombong bijih timah bukan sahaja
terdapat di Larut tetapi turut digunakan di beberapa kawasan lain seperti di
Sungai Galah di mana terdapat kira-kira 22 buah kapal korek asli digunakan di
kawasan lombong berkenaan, selain di Lenggong, Sitiawan dan Malim Nawar.
Bagaimanapun, kapal korek di Malim Nawar digunakan secara tembak. Namun,
setakat ini hanya kapal korek di Batu 6, Tanjung Tualang sahaja yang masih
wujud dan kekal sebagai bahan tinggalan sejarah kepada generasi hari ini
tentang bagaimana bijih timah dilombong dan apakah kegunaan bijih berkenaan
kepada manusia.
Ketika ditemui Wartawan JEJAK SEJARAH, Ishanorzaman Jaimit, 40, dari Kampung
Tersusun, Tanjung Tualang,
Ipoh, Perak menyatakan
bijih timah ditemui di Tanjung
Tualang pada tahun 1960 ketika zaman British, manakala kapal korek asal yang
terdapat di Tanjung Tualang pada asalnya berjumlah 40 buah di mana selebihnya
telah dijual, tetapi yang kekal sehingga sekarang hanya tinggal sebuah sahaja
sejak tahun 1938 sebagai bukti tinggalan sejarah.
“Timba
yang digunakan untuk mengorek bijih berdasarkan kepada keadaan kapal itu. Jika
kapal korek itu besar, maka jumlah timbanya agak banyak di antara 40 hingga 60
buah. Kapal ini bergerak menurut timba yang digunakan untuk mengorek. Manakala
timba ini pula dipasang di sebelah kiri dan kanan sementara pemandu kapal ini
pula tinggal di sebelah atas kapal korek itu”, ujarnya.
Katanya,
apabila timba berkenaan telah mengorek sedalam 100 meter ke kanan dan 100 meter
ke kiri barulah kapal korek ini dapat bergerak ke depan kerana adanya ruang
tanah berkenaan. Kapal korek ini tidak akan dapat bergerak ke depan disebabkan
tersandung tanah tersebut. Apabila timba kapal ini dapat mengorek tanah itu
barulah kapal berkenaan dapat bergerak perlahan-lahan.
Tambahnya,
kebanyakan kapal korek dapat mengorek sampai ke dalaman 45 kaki hingga 60 kaki
berdasarkan keadaan tanah itu. Namun, jika timba berkenaan dapat mengorek bijih
semakin banyak di sesuatu kawasan itu, kapal berkenaan tidak akan bergerak dari
kawasan itu sehingga di kawasan yang dikorek tidak lagi mengandungi bijih yang
dimaksudkan.
“Pekerja
dalam kapal korek ini meliputi tiga shif di mana satu shif itu pekerjanya lebih
kurang 40 hingga 50 orang, termasuk pekerja bahagian luar. Tugas pekerja ini
adalah untuk menjaga bahagian talinya terutamanya untuk mengelakkan tali kabel
putus adalah tugas mereka. Kapal korek buatan British ini juga menggunakan
kuasa elektrik. Manakala kapal korek ini berjalan menggunakan tali itu tadi dan
inilah peranan yang dimainkan oleh pekerja-pekerja di bahagian ini”, jelasnya.
Sambung
Ishanorzaman lagi, satu tong bijih dapat dikorek kira-kira dua tan. Jadi, kalau
bijih itu keluar dalam 10 tong (satu shif) sekurang-kurangnya memperolehi 15
tan bijih. Dalam hubungan ini menurutnya, cara pekerja di sini tidak dapat
berehat. Bahkan jika sebuah kapal korek dapat mengorek bijih di sesuatu tempat
itu agak banyak, maka akan lamalah kapal korek akan berada di tempat terbabit.
Tetapi jika di tempat berkenaan didapati bijihnya agak berkurangan, kapal korek
akan mengoreknya agak laju.
Apabila
ditanya, bagaimana pihak British dapat mengesan tentang kewujudan bijih di
sesuatu kawasan, contohnya sebagaimana di Tanjung Tualang ini. Beliau
menjelaskan, pada mulanya dengan cara ‘boring’ dari satu tempat ke satu tempat
dengan cara mengorek di kedalaman antara 30 hingga 40 kaki. Boring itu macam
skru juga tapi perlu dipusing dengan tangan bersambung dengan wayar paip,
apabila agak 10 hingga 15 kaki wayar paip itu dicabut dan mereka akan memeriksa
jenis dan bentuk tanah sama ada ada atau tiada bijih yang dimaksudkan.
Sementara sebelum ditemui bijih timah, paling awal batu amang (batu grander)
akan ditemui dahulu.
“Dari
segi bentuk bijih, kalau bijih lombong ia tidak berketul tetapi dalam bentuk
pasir yang tidak melekat. Berbeza pula dengan bijih gunung yang berketul-ketul.
Seperti bijih di Teluk Intan, Pengkalan Hulu bijih timah itu adalah bijih
gunung atau bijih bukit di mana bijih timah ini berketul-ketul. Manakala bijih
lombong itu pula seperti pasir dan kalau keluar akan berselerakan.
“Perbezaan
dapat dikenal pasti di antara pasir yang berwarna putih dengan bijih timah dari
segi beratnya dan warnanya pula hitam. Apabila dikorek, kapal berkenaan akan
terus mengasing-asingkan di antara pasir dan bijih. Macam penggunaan ‘ayak’
secara tradisional, apabila diayak, pasir akan keluar dulu tetapi bijih akan
tinggal di dalam ayak tersebut. Bermakna bijih itu lebih berat dari pasir itu”,
jelasnya.
Sambung
Ishanorzaman lagi, kaedah mendulang bijih adalah cara tradisional, tetapi cara
tembak juga dianggap tradisional namun menggunakan mesin yang menyebabkannya
menggegar untuk memisahkan tanah, batu serta pasir. Apabila tanah, batu dan
pasir sudah dipisahkan, apabila peralatan berkenaan digoncang akan menyebabkan
bijih tersebut akan jatuh ke bawah kerana sifat bijih lebih berat daripada
pasir tersebut. Jadi, bermakna walaupun mesin tembak dianggap tradisional juga
berhasil untuk mengasingkan batu, pasir, bijih timah dan amang. Galian amang
dan biih timah ini seperti kawan juga, bermakna jika di sesuatu tempat itu ada
amang secara jelasnya akan wujud bijih timah di situ.
Beliau
menambah, walaupun kapal korek dapat mengorek bijih di kedalaman yang maksimum,
kapal korek tidak akan condong atau terbalik kerana satu alat seperti pelampung
angin sedalam 10 hingga 12 kaki untuk menahan daya kapal. Selain itu, kapal
korek juga mempunyai pam air yang digunakan untuk mengasingkan bijih yang telah
dikaut oleh timba itu. Setelah diasingkan di antara batu, pasir, amang dan
bijih, bijih timah tersebut akan dibawa keluar dan akan ditapis lagi barulah
bijih sebenar diambil.
“Setelah
bijih berkenaan ditapis bersih dan memperolehi hasilnya, bijih berkenaan
kemudiannya dibawa keluar untuk dileburkan. Katanya, kalau di zaman dulu
setahunya bijih-bijih berkenaan dibawa ke British sebab semua teknologi berasal
di negara berkenaan”, tambahnya.
Apabila
ditanya, kenapa pihak Inggeris khususnya British mengenalpasti Malaya pada masa itu mempunyai khazanah bumi berharga
seperti bijih timah. Beliau menjelaskan, beliau percaya penemuan bijih timah di
Malaya seperti juga kesesuaian tanah di negara
ini untuk penanaman getah. Mungkin dari situ, pihak British membuat risikan dan
kajian dan secara langsung atau tidak akan memperolehi maklumat tentang Malaya kaya dengan bijih timah yang diperlukan untuk
industri. Apatah lagi ketika penjajahan British ke atas Tanah Melayu, memberi
peluang kepada pihak Inggeris untuk mencari sumber bumi yang diperlukan.
Keadaan ini dengan jelas, pihak Inggeris mempunyai sebab menjajah Tanah Melayu
iaitu untuk mendapatkan sumber dan khazanah yang berharga dari bumi Malaya ketika itu.
“Salah
satu kegunaan bijih timah ialah untuk membuat peluru seperti peluru pistol,
senapang dan meriam. Sebab itulah harga bijih pada hari ini melambung tinggi
berikutan sumber berkenaan didapati habis”, ujarnya.
Katanya,
sewaktu ketika dulu, pihak British memainkan peranan mendapatkan bijih untuk
kegunaan pihak mereka, tetapi sejak itu China pula mengambil alih.
Keperluan negara-negara luar terhadap bijih adalah untuk menghasilkan senjata.
Namun, oleh kerana bijih timah berlambak kadang-kadang ia tidak diperlukan.
Bermula saat itu, kapal korek tidak lagi diperlukan akhirnya tersadai dimamah
usia. Tetapi menurutnya, sekarang ini lombong di Kampar, Perak dibuka semula
yang memungkinkan bijih timah masih diperlukan untuk kegunaan dan keperluan
mendesak sebagaimana yang dimaksudkan kerana mungkin simpanan bahan galian
berkenaan telah semakin berkurangan.
Ishanorzaman Jaimit ketika ditemubual Wartawan JEJAK SEJARAH di Ipoh, Perak.
Inilah Kapal Korek TT5, warisan sejarah yang masih kekal sejak tahun 1938.
Wartawan JEJAK SEJARAH bergambar kenangan di hadapan Kapal Korek TT5.
Notis peringatan di bahagian dalam (bawah) kapal korek.
Bahagian dalam Kapal Korek TT5 di tingkat empat.
Beberapa bahan galian dipamerkan dalam bilik pameran Syarikat Tin Dredge Heritage.
Syarikat Tin Dredge Heritage, pemilik Kapal Korek TT5 warisan sejarah.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Menarik dan informatif untuk maklumat kepada generasi yang akan datang. Semoga generasi muda akan menghargai pekerjaan sebagai buruh kapal korek bijih timah.
BalasPadamMenarik dan informatif untuk maklumat kepada generasi yang akan datang. Semoga generasi muda akan menghargai pekerjaan sebagai buruh kapal korek bijih timah.
BalasPadamTerima kasih dengan saranan Yatietaharin. Kru Jejak Sejarah sentiasa prihatin dengan kesan sejarah yang tidak dipedulikan dan terbiar begitu sahaja. Semoga kesan peninggalan sejarah yang kami paparkan mendapat manfaat pembaca. Terima kasih.
BalasPadam