JEJAK SEJARAH: Media Menjejak Abad . Majalah Maya . Paparan Foto . Kesan Peninggalan Sejarah . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Sejarah Tidak Pernah Lupa, Menyembunyikan Diri dan Berbohong Terhadap Manusia . Tetapi Manusialah Yang Sentiasa Lupa, Berbohong dan Menyembunyikan Faktanya. Editor: Azmi Mohd. Salleh

Ahad, 6 Julai 2014

Kolam Puteri Sa'adong: Kg.Kutan Hilir (Wakaf Baharu)


KOLAM PUTERI SA'ADONG

WAKAF BAHARU, KELANTAN: Terdapat beberapa buah kolam yang sering digunakan oleh Puteri Sa'adong ketika zaman remajanya sehingga Baginda menjadi Permaisuri Raja Abdullah yang pernah ditemui seperti kolam terbesar terletak di Kampung Pangkal Kalong, Ketereh, kolam di Jalan Panji dan terbaru yang ditemui di Kampung Kutan Hilir, Wakaf Baharu, Kelantan. Kolam ini terletak berhampiran dengan sebatang sungai yang sering digunakan oleh Baginda, pedagang-pedagang lain yang menyusurinya serta penduduk-penduduk kampung terbabit.

Seorang penduduk kampung terbabit yang sempat ditemui Wartawan JEJAK SEJARAH, Wan Hanafi Wan Isa berkata, kolam mandi tempat Puteri Sa'adong bersiram juga ada di kampungnya itu. Kolam yang dimaksudkan itu memang ternyata agak besar, tetapi kini telah didapati tertimbus berikutan kerja-kerja terhadap kawasan tanah terbabit.

"Jika dilihat, seolah-olah sebatang parit, namun disebabkan faktor tanah yang semakin turun menyebabkan kolam itu semakin sempit", katanya.

Katanya lagi, kolam itu telah ditemui oleh salah seorang penduduk kampungnya yang kini telah meninggal beberapa tahun lalu. Jika arwah tidak memaklumkan tentangnya, sudah tentu beliau sendiri tidak mengetahui tentang wujudnya kolam lama berusia lebih 200 tahun lalu di situ.

Menurut Wan Hanafi, pada masa dulu jalan darat masih tidak berfungsi tidak sebagaimana di zaman moden ini. Justeru, alternatif yang sering digunakan oleh penduduk-penduduk pada masa itu termasuk Puteri Sa'adong sendiri yang menggunakan laluan berkenaan. Maka sungai yang berhampiran dengan kolam itu adalah laluan alternatif yang lazim digunakan oleh Puteri Sa'adong.

"Mungkin juga wujudnya kolam seumpama itu berdekatan dengan sungai bagi memudahkan Baginda membersih dan mencuci diri dan sejak itu kolam itu begitu tersohor di situ", ujarnya.

Sambung Wan Hanafi lagi, pernah bahtera yang dinaiki Baginda dikenali "Jong Kapa Ulana" telah karam kerana bertembung dengan ombak dan air berpusar di kawasan muara sungai. Beliau membawa Wartawan JEJAK SEJARAH ke lokasi muara sungai yang dimaksudkan.

Apabila ditanya, mungkin wujudnya keturunan atau generasi Puteri Sa'adong di kampung itu selepas Baginda wafat, beliau menafikannya. Katanya, setakat yang beliau dapat tahu dari beberapa penduduk kampung, tidak mungkin ada generasi Baginda di kampung itu. Kehadiran Baginda menyusuri sungai itu atas kapasiti Baginda sebagai seorang raja dan pemerintah sahaja.

Wan Hanafi Wan Isa.

Wan Hanafi Wan Isa ketika ditemubual Wartawan JEJAK SEJARAH.


Kolam mandi Puteri Sa'adong.

Sungai yang dimaksudkan.

Muara sungai inilah menyebabkan Jong Kapa Ulana yang dinaiki Puteri Sa'adong karam.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 5 Julai 2014

Kota Gua: Kg.Padang Pak Amin (Pasir Mas)


KOTA GUA

PASIR MAS, KELANTAN: Di tebing sungai Kelantan yang terletak di Kampung Padang Pak Amin di zaman Cik Siti Wan Kembang (Pemerintah dan Raja Kelantan Ke-6) dulu merupakan sebuah kota yang tenggelam oleh air Sungai Kelantan yang sering pasang surut. Pada masa itu, keadaan sungai terbabit agak jernih, malah ikan-ikan yang berenang di sungai berkenaan boleh dilihat dengan jelas, tidak sebagaimana hari ini apabila keadaan sungainya yang agak keruh dan berkelodak disebabkan banyak aktiviti berhampiran tebingnya.

Seorang penduduk, Owe Cheng Huai dari Kampung Sakar Sungai, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan JEJAK SEJARAH berkata, dia pada mulanya tidak mempercayainya tentang kewujudan Kota Gua yang dimaksudkan itu. Tetapi setelah ditunjukkan oleh salah seorang penduduk bernama Pak Mat beliau mula mempercayainya. Apa yang menariknya, beliau dapat melihat sendiri kota berkenaan yang tenggelam di kedalaman air sungai di samping penutup pintu kota tersebut yang diperbuat daripada emas tulen berbentuk kijang.

Selain itu menurutnya, beliau mendapat tahu cerita Cik Siti Wan Kembang yang menyusuri sungai tersebut telah karam kira-kira 500 meter dari tempat Pulau Batu Hampar dan Kota Gua itu. Mungkin menurutnya, disebabkan bahtera yang dinaiki Cik Siti Wan Kembang dikenali Jong Kapa Ulana sebagai penyebab penemuan beberapa syiling emas berlogo kijang dan syiling berlubang yang terkenal pada masa itu.

Katanya, di dasar Sungai Kelantan berhampiran Kampung Padang Pak Amin itu bukan sahaja kaya dengan artifak lama di zaman Cik Wan Kembang seperti wang syiling emas, tetapi amat kaya dengan emas tulen dan bermutu tinggi. Emas itu terletak di sebuah tempat dikenali Pulau Batu Hampar. Batu hampar itulah yang menaungi dan melindungi khazanah yang berharga dari bumi di kampung itu. Katanya, ketika zaman remajanya pernah beberapa penduduk kampung cuba menggali emas-emas di kawasan batu hampar itu tetapi apalah kekuatan manusia untuk mengambilnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang penemuan artifak lama dan syiling emas seolah-olah di zaman Kelantan purba yang banyak ditemui di sungai berkenaan sejak tahun 2013 yang lalu sehinggakan menjadi tumpuan pengunjung dari serata Kelantan termasuk dari luar Kelantan.

Justeru, amat jelas negeri Kelantan sememangnya amat kaya dengan khazanah berharga dari bumi yang tidak cuba digali untuk keperluan kepada rakyatnya sendiri, yang akhirnya rakyatnya sendiri berputih mata apabila segala hasil bumi itu mengalir ke luar Kelantan. Ruginya ialah rakyatnya yang tidak menyedari percaturan itu dan yang untungnya ialah pihak lain.

Owe Cheng Huai.

Owe Cheng Huai ketika ditemubual oleh Wartawan JEJAK SEJARAH.

Kota Gua di Kampung Padang Pak Amin.

Owe Cheng Huai sedang menunjukkan arah Kota Gua yang dimaksudkan.

Pulau Batu Hampar.

Owe Cheng Huai sedang menunjukkan arah Pulau Batu Hampar.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 4 November 2013

Pondok Lubuk Tapah: Lemal (Pasir Mas)


PONDOK LUBUK TAPAH

PASIR MAS, KELANTAN:  PONDOK Lubuk Tapah merupakan Pusat Pengajian Pondok yang terkenal di Kelantan yang terletak dalam daerah Lemal, Pasir Mas, Kelantan. Pondok ini diasaskan oleh murid Tok Kenali, Tuan Guru Hj. Ab. Rahman bin Hj. Che Wan di awal tahun 1931.

Anakanda beliau, Tuan Guru Hj. Abdullah bin Hj. Ab. Rahman telah mengambil alih tempat ayahanda beliau itu sebagai Guru dan Mudir di Pondok Lubuk Tapah ini setelah ayahandanya meninggal dunia pada tahun 1988 sehingga sekarang.

Pondok ini letaknya di atas tanah seluas 6 ekar malah pada masa kemuncak pondok ini pada tahun 1960-an, terdapat seramai 150 pelajar dari seluruh Nusantara yang menuntut di pondok ini. Pada masa pengajian, terdapat ratusan lagi pelajar yang berulang-alik ke pondok ini. Pondok Lubuk Tapah telah melahirkan ramai alim ulama yang datang dari seluruh Nusantara.

Lubuk Tapah terkenal disebabkan pondoknya iaitu Pondok Lubuk Tapah di samping sebuah masjid mukim yang selalu didatangi penduduk kampung dan pelawat-pelawat dari luar negeri.

“Tapah” adalah nama sejenis ikan sungai yang mempunyai banyak darah. Manakala pondok ini pula terletak di tepi sebuah anak sungai yang mempunyai sebuah lubuk (telaga dalam sungai) di mana banyak berkeliaran ikan tapah itu.

Pada suatu ketika, Tok Kenali telah melawat anak muridnya yang merupakan Pengasas Pondok Tapah ini iaitu Tuan Guru Hj. Ab. Rahman bin Hj. Che Wan. Bapa beliaulah, Hj. Che Wan yang telah mengundang Tok Kenali ke rumahnya (sebelum pondok ini didirikan).

Tok Kenali menaiki keretapi dari stesen Palekbang ke Pasir Mas iaitu kira-kira setengah jam melalui beberapa buah kampung, padang dan jambatan. Apabila Tok Kenali tiba di Stesen Kereta api Pasir Mas, Tok Kenali mendapati ramai yang sedang menunggu ketibaan beliau dan kemudian mereka semuanya berjalan kaki mengiringi Tok Kenali dari Pasir Mas ke Pondok Lubuk Tapah sejauh kira-kira 4 kilometer.

Tok Kenali dijemput disebabkan masyarakat dan penduduk kampung berkenaan ingin mengenali Tok Kenali secara lebih dekat tentang seorang yang paling alim dan apabila tiba di kampung berkenaan beliau dihidangkan nasi dengan sayur bayam. Sesudah itu, Tok Kenali dibawa pula ke rumah Tok Saman, bapa kepada Tuan Guru Abdullah Kampung Lati dan di sana beliau minta dihidangkan nasi dengan berlaukkan ayam kampung. Mungkin disebabkan kedatangan Tok Kenali menziarahi muridnya dan kampung berkenaan, maka Pondok Lubuk Tapah terus maju sehingga hari ini.
(Sumber: Buku Detik-detik Sejarah Hidup Tok Kenali, Ustaz ‘Abdullah Al-Qari bin Hj. Salleh (A.Q.H.A.S – cucu Tok Kenali)

Malahan kini, Pondok Lubuk Tapah telah diwartakan dalam kalendar Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sebagai sebuah institusi pondok yang dapat bertahan lama dan masih aktif sehingga hari ini disebabkan ia sebuah institusi Islam yang paling dikunjungi oleh pelawat-pelawat dari dalam dan luar negara.





Batu asas Pondok Lubuk Tapah diwarta dalam kalendar pelancongan.

 Tapak asal Pondok Lubuk Tapah yang didakwa terbakar beberapa tahun lalu.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 28 September 2013

Bank Pitis: Jalan Istana Jahar (Kota Bharu)


BANK PITIS

KOTA BHARU, KELANTAN:  BANGUNAN BANK PITIS ini telah dibina dan digunakan semasa zaman pemerintahan Sultan Muhammad III (Long Kundor bin Sultan Ahmad) mulai tahun 1889-1890. Bangunan ini digunakan sebagai bilik kebal untuk menyimpan pitis/wang perbendaharaan Negeri dan dokumen-dokumen penting Kerajaan Kelantan pada masa itu.

Bangunan ini terletak di hadapan Istana Balai Besar dan kawasan ini adalah tapak asal bangunan Pentadbiran Kerajaan Kelantan yang dikenali dengan nama “Opis Panjang”. Bangunan opis panjang ini telah dirobohkan sekitar tahun 1940-an.

Dalam tahun 1906, negeri Kelantan mula mengeluarkan mata wang sendiri dikenali dengan nama “pitis”. Pitis ini diperbuat dari timah berbentuk bulat, berkeping dan berlubang di tengah dan nilainya adalah 5 keping bersamaan dengan 1 sen.

Selain dari “pitis”, jenis-jenis mata wang lain yang pernah digunakan di Kelantan pada kurun ke-16 hingga 19 ialah:

i)                    Duit syiling Kijang
ii)                   Dinar Matahari
iii)                 Syiling emas bertulisan Arab di kedua belah muka.     

Dalam tahun 1909, kesemua keluaran duit syiling Kelantan telah dihentikan apabila British mula mengeluarkan duit syiling negeri-negeri Selat. Bangunan Bank Pitis ini tidak lagi berfungsi apabila bank-bank perdagangan yang pertama di Kelantan iaitu “The Mercantile Bank of India Ltd.’dikenali “Bank Kerapu” ditubuhkan pada tahun 1912.



Inilah "Bank Pitis" sebagai memoir sejarah.


Sebahagian pitis yang digunakan di zaman tersebut.

Foto ini dirakam di Jalan Istana Jahar, Kota Bharu, Kelantan pada 28.9.2013.

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 21 September 2013

Kapal Korek: Tanjung Tualang (Perak)



KAPAL KOREK



IPOH, PERAK: DALAM sejarah Negeri Perak Darul Redzuan memang tersohor dengan perlombongan bijih timah terbesar yang terletak di Larut, Perak menggunakan kapal korek sebagai suatu alat untuk menggali khazanah berharga dari perut bumi di tempat terbabit. Tetapi tahukah anda bahawa, penggunaan kapal korek untuk melombong bijih timah bukan sahaja terdapat di Larut tetapi turut digunakan di beberapa kawasan lain seperti di Sungai Galah di mana terdapat kira-kira 22 buah kapal korek asli digunakan di kawasan lombong berkenaan, selain di Lenggong, Sitiawan dan Malim Nawar. Bagaimanapun, kapal korek di Malim Nawar digunakan secara tembak. Namun, setakat ini hanya kapal korek di Batu 6, Tanjung Tualang sahaja yang masih wujud dan kekal sebagai bahan tinggalan sejarah kepada generasi hari ini tentang bagaimana bijih timah dilombong dan apakah kegunaan bijih berkenaan kepada manusia.

Ketika ditemui Wartawan JEJAK SEJARAH, Ishanorzaman Jaimit, 40, dari Kampung Tersusun,   Tanjung  Tualang,  Ipoh,   Perak   menyatakan   bijih  timah ditemui di Tanjung Tualang pada tahun 1960 ketika zaman British, manakala kapal korek asal yang terdapat di Tanjung Tualang pada asalnya berjumlah 40 buah di mana selebihnya telah dijual, tetapi yang kekal sehingga sekarang hanya tinggal sebuah sahaja sejak tahun 1938 sebagai bukti tinggalan sejarah.

“Timba yang digunakan untuk mengorek bijih berdasarkan kepada keadaan kapal itu. Jika kapal korek itu besar, maka jumlah timbanya agak banyak di antara 40 hingga 60 buah. Kapal ini bergerak menurut timba yang digunakan untuk mengorek. Manakala timba ini pula dipasang di sebelah kiri dan kanan sementara pemandu kapal ini pula tinggal di sebelah atas kapal korek itu”, ujarnya.

Katanya, apabila timba berkenaan telah mengorek sedalam 100 meter ke kanan dan 100 meter ke kiri barulah kapal korek ini dapat bergerak ke depan kerana adanya ruang tanah berkenaan. Kapal korek ini tidak akan dapat bergerak ke depan disebabkan tersandung tanah tersebut. Apabila timba kapal ini dapat mengorek tanah itu barulah kapal berkenaan dapat bergerak perlahan-lahan.

Tambahnya, kebanyakan kapal korek dapat mengorek sampai ke dalaman 45 kaki hingga 60 kaki berdasarkan keadaan tanah itu. Namun, jika timba berkenaan dapat mengorek bijih semakin banyak di sesuatu kawasan itu, kapal berkenaan tidak akan bergerak dari kawasan itu sehingga di kawasan yang dikorek tidak lagi mengandungi bijih yang dimaksudkan.

“Pekerja dalam kapal korek ini meliputi tiga shif di mana satu shif itu pekerjanya lebih kurang 40 hingga 50 orang, termasuk pekerja bahagian luar. Tugas pekerja ini adalah untuk menjaga bahagian talinya terutamanya untuk mengelakkan tali kabel putus adalah tugas mereka. Kapal korek buatan British ini juga menggunakan kuasa elektrik. Manakala kapal korek ini berjalan menggunakan tali itu tadi dan inilah peranan yang dimainkan oleh pekerja-pekerja di bahagian ini”, jelasnya.
 
Sambung Ishanorzaman lagi, satu tong bijih dapat dikorek kira-kira dua tan. Jadi, kalau bijih itu keluar dalam 10 tong (satu shif) sekurang-kurangnya memperolehi 15 tan bijih. Dalam hubungan ini menurutnya, cara pekerja di sini tidak dapat berehat. Bahkan jika sebuah kapal korek dapat mengorek bijih di sesuatu tempat itu agak banyak, maka akan lamalah kapal korek akan berada di tempat terbabit. Tetapi jika di tempat berkenaan didapati bijihnya agak berkurangan, kapal korek akan mengoreknya agak laju.

Apabila ditanya, bagaimana pihak British dapat mengesan tentang kewujudan bijih di sesuatu kawasan, contohnya sebagaimana di Tanjung Tualang ini. Beliau menjelaskan, pada mulanya dengan cara ‘boring’ dari satu tempat ke satu tempat dengan cara mengorek di kedalaman antara 30 hingga 40 kaki. Boring itu macam skru juga tapi perlu dipusing dengan tangan bersambung dengan wayar paip, apabila agak 10 hingga 15 kaki wayar paip itu dicabut dan mereka akan memeriksa jenis dan bentuk tanah sama ada ada atau tiada bijih yang dimaksudkan. Sementara sebelum ditemui bijih timah, paling awal batu amang (batu grander) akan ditemui dahulu.

“Dari segi bentuk bijih, kalau bijih lombong ia tidak berketul tetapi dalam bentuk pasir yang tidak melekat. Berbeza pula dengan bijih gunung yang berketul-ketul. Seperti bijih di Teluk Intan, Pengkalan Hulu bijih timah itu adalah bijih gunung atau bijih bukit di mana bijih timah ini berketul-ketul. Manakala bijih lombong itu pula seperti pasir dan kalau keluar akan berselerakan.

“Perbezaan dapat dikenal pasti di antara pasir yang berwarna putih dengan bijih timah dari segi beratnya dan warnanya pula hitam. Apabila dikorek, kapal berkenaan akan terus mengasing-asingkan di antara pasir dan bijih. Macam penggunaan ‘ayak’ secara tradisional, apabila diayak, pasir akan keluar dulu tetapi bijih akan tinggal di dalam ayak tersebut. Bermakna bijih itu lebih berat dari pasir itu”, jelasnya.

Sambung Ishanorzaman lagi, kaedah mendulang bijih adalah cara tradisional, tetapi cara tembak juga dianggap tradisional namun menggunakan mesin yang menyebabkannya menggegar untuk memisahkan tanah, batu serta pasir. Apabila tanah, batu dan pasir sudah dipisahkan, apabila peralatan berkenaan digoncang akan menyebabkan bijih tersebut akan jatuh ke bawah kerana sifat bijih lebih berat daripada pasir tersebut. Jadi, bermakna walaupun mesin tembak dianggap tradisional juga berhasil untuk mengasingkan batu, pasir, bijih timah dan amang. Galian amang dan biih timah ini seperti kawan juga, bermakna jika di sesuatu tempat itu ada amang secara jelasnya akan wujud bijih timah di situ.

Beliau menambah, walaupun kapal korek dapat mengorek bijih di kedalaman yang maksimum, kapal korek tidak akan condong atau terbalik kerana satu alat seperti pelampung angin sedalam 10 hingga 12 kaki untuk menahan daya kapal. Selain itu, kapal korek juga mempunyai pam air yang digunakan untuk mengasingkan bijih yang telah dikaut oleh timba itu. Setelah diasingkan di antara batu, pasir, amang dan bijih, bijih timah tersebut akan dibawa keluar dan akan ditapis lagi barulah bijih sebenar diambil.

“Setelah bijih berkenaan ditapis bersih dan memperolehi hasilnya, bijih berkenaan kemudiannya dibawa keluar untuk dileburkan. Katanya, kalau di zaman dulu setahunya bijih-bijih berkenaan dibawa ke British sebab semua teknologi berasal di negara berkenaan”, tambahnya.

Apabila ditanya, kenapa pihak Inggeris khususnya British mengenalpasti Malaya pada masa itu mempunyai khazanah bumi berharga seperti bijih timah. Beliau menjelaskan, beliau percaya penemuan bijih timah di Malaya seperti juga kesesuaian tanah di negara ini untuk penanaman getah. Mungkin dari situ, pihak British membuat risikan dan kajian dan secara langsung atau tidak akan memperolehi maklumat tentang Malaya kaya dengan bijih timah yang diperlukan untuk industri. Apatah lagi ketika penjajahan British ke atas Tanah Melayu, memberi peluang kepada pihak Inggeris untuk mencari sumber bumi yang diperlukan. Keadaan ini dengan jelas, pihak Inggeris mempunyai sebab menjajah Tanah Melayu iaitu untuk mendapatkan sumber dan khazanah yang berharga dari bumi Malaya ketika itu.

“Salah satu kegunaan bijih timah ialah untuk membuat peluru seperti peluru pistol, senapang dan meriam. Sebab itulah harga bijih pada hari ini melambung tinggi berikutan sumber berkenaan didapati habis”, ujarnya.

Katanya, sewaktu ketika dulu, pihak British memainkan peranan mendapatkan bijih untuk kegunaan pihak mereka, tetapi sejak itu China pula mengambil alih. Keperluan negara-negara luar terhadap bijih adalah untuk menghasilkan senjata. Namun, oleh kerana bijih timah berlambak kadang-kadang ia tidak diperlukan. Bermula saat itu, kapal korek tidak lagi diperlukan akhirnya tersadai dimamah usia. Tetapi menurutnya, sekarang ini lombong di Kampar, Perak dibuka semula yang memungkinkan bijih timah masih diperlukan untuk kegunaan dan keperluan mendesak sebagaimana yang dimaksudkan kerana mungkin simpanan bahan galian berkenaan telah semakin berkurangan.

Ishanorzaman Jaimit ketika ditemubual Wartawan JEJAK SEJARAH di Ipoh, Perak.

Inilah Kapal Korek TT5, warisan sejarah yang masih kekal sejak tahun 1938.


Wartawan JEJAK SEJARAH bergambar kenangan di hadapan Kapal Korek TT5.

Notis peringatan di bahagian dalam (bawah) kapal korek.

Bahagian dalam Kapal Korek TT5 di tingkat empat.

Beberapa bahan galian dipamerkan dalam bilik pameran Syarikat Tin Dredge Heritage.

Syarikat Tin Dredge Heritage, pemilik Kapal Korek TT5 warisan sejarah.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Kellie's Castle: Batu Gajah (Perak)



ISTANA KELLIE (KELLIE'S CASTLE)

IPOH, PERAK:  ISTANA KELLIE atau Kellie's Castle (kadang-kadang digelar Kesilapan Kellie (Folly Kellie) ialah sebuah istana kota yang terletak di tepi jalan Simpang Pulau, Batu Gajah, Perak. Bangunan Istana Kellie atau Rumah Kellas telah dibina pada tahun 1910 oleh seorang peladang getah terkemuka British bernamaWilliam Kellie Smith. Bangunan tiga tingkat ini dibina mengikut reka bentuk sebuah Istana Moghul di bandar di bandar Agra, India.

Tukang-tukang binaan bangunan tersebut dibawa khas dari Madras. Manakala William Kellie Smith adalah dari sebuah kampung di Scotland yang dikenali sebagai Kellas. Pada tahun 1890, ketika berusia 20 tahun, Smith tiba sebelum Tanah Melayu membangun. Di Tanah Melayu, beliau bertemu dengan seorang pemilik tanah bernama Alma Baker, yang telah memenangi konsesi dari pemerintah negara untuk meneroka 360 hektar hutan di Perak. Dengan keuntungan besar yang dibuat dari perniagaan bersama dengan Alma Baker, Smith mula menanam pohon getah dan menceburi dalam industri perlombongan timah. Di samping itu, ia menjadi pemilik Perumahan Kinta Kellas dan Kinta Kellas Tin Dredging Company.

Kemudiannya beliau kembali ke rumah beliau untuk berkahwin dengan orang Scotland tercinta, Agnes, dan isterinya dibawa ke Malaysia pada tahun 1903. Tahun berikutnya, pasangan ini diberkati dengan anak perempuan mereka yang bernama Helen. Selama bertahun-tahun selepas itu, Agnes berusaha untuk hamil, tapi gagal. William Smith terlalu mengharapkan seorang anak lelaki sebagai waris untuk mengambil alih kerajaan itu di Kepulauan Melayu. Setelah bertahun-tahun selepas itu, akhirnya Agnes telah melahirkan seorang anak lelaki bernama Anthony, pada tahun 1915.

Kelahiran anaknya adalah peringkat awal bagi keuntungan yang lebih besar untuk William Smith. Bagi merayakan kelahiran Anthony, William Smith telah memutuskan untuk memperluaskan rumahnya. Smith memulai perancangan untuk cadangan istana besar yang dirancangkan untuk digelar sebagai Rumah Kellas (Kellas House), sempena rumahnya di Scotland.

Bangunan ini mempunyai 14 buah bilik, sebuah bilik bawah tanah dan terowong rahsia itu juga dilengkapkan dengan lif yang pertama di dibina di Tanah Melayu. Di tingkat kedua pula akan dibina sebuah padang tenis berlantaikan simen. Berita mengenai bangunan ini pernah disiarkan dalam akhbar London Financer pada 15 September 1911. Akhbar itu mengatakan Kellas House itu merupakan bangunan yang paling unik di seluruh Timur Jauh, sama ada dari segi bentuk ataupun besarnya.

Bangunan ini tidak sempat disiapkan setelah Kellie Smith meninggal dunia di Pelabuhan Lisbon, Portugal pada 11 Disember 1926. Bangunan yang kekal dalam keadaan 'sedang dibina' telah menjadi tarikan pengunjung ke Batu Gajah, Perak kerana keunikannya. Sebuah jambatan menyeberangi Sungai Kinta dibina untuk pelawat mudah ke Istana Kellie. Sebuah kedai makan dan kedai cenderamata dan tapak parkir kereta telah dibina Majlis Daerah Kinta Barat pada tahun 1990. Istana Kellie sering menjadi lokasi penggambaran drama dan filem. Antaranya ialah filem Anna and The King yang dilakonkan oleh Chow Yuen Fatt.

Sungai Kinta mengalir di hadapan Istana Kellie.

Wartawan JEJAK SEJARAH di dataran Istana Kellie.

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rujukan:
WIKIPEDIA

Jumaat, 13 September 2013

Makam Tok Kenali: Kg. Kenali (Kota Bharu)



MAKAM TOK KENALI

KOTA BHARU, KELANTAN:  NAMA sebenar Tok Kenali (1870-1933) ialah Muhammad Yusof bin Ahmad dilahirkan di belakang Masjid Shaalihiy (masjid lama), Kubang Kerian atau dulunya dikenali sebagai Kampung Kenali pada tahun 1870 Masihi (1287 Hijrah). Beliau lebih dikenali sebagai “Awang” dan kemudiannya disebut “Awang Kenali” (panggilan manja kepada seorang anak lelaki). Ibunya bernama Hajjah Fatimah manakala bapanya Ahmad adalah seorang petani juga mempunyai sedikit sebanyak ilmu pengetahuan beragama.

Tok Kenali mendapat pendidikan menulis daripada datuknya sendiri, Tok Leh (seorang Imam dan lebai iaitu orang yang kuat beragama) di Kampung Kenali sebelum perang Jepun. Selain itu, Tok Kenali juga diajar membaca Al-Quran selain menulis jawi. Dikatakan juga penulisan jawinya agak pantas.

Setelah bapanya meninggal dunia, Tok Kenali terus di bawah jagaan datuknya dan turut diasuh oleh neneknya yang tiri, Tok Mek Ngah (Mak Kecik) selain turut diawasi oleh ibunya Hajjah Fatimah. Tok Kenali yang diasuh oleh Tok Mek Ngah bagaikan “menatang minyak yang penuh” apabila setiap makanan yang dihidangkan dimasaknya sendiri kerana dianggap secara fitrahnya lebih bersih dan untuk mengelakkan makanan haram dan syubhat dari makanan di luar.

Ketika usianya 7 tahun, Tok Kenali telah dilantik oleh seorang Penggawa (Tok Kuwen) menjadi seorang kerani “hasil tanah” di mana tugasnya ialah memungut hasil tanah, hasil tanaman dan perkebunan iaitu seorang pemilik tanah mesti membayar hasil tanaman atau pengeluaran dari kebun mengikut kadar hasil atau jumlah padi, durian dan kelapa. Tugas Tok Kenali juga untuk membilang dan mendaftar pokok buah-buahan dan tanaman rakyat di kawasan masing-masing.

Tok Kenali mula-mula menimba ilmu di rumah Encik Ismail, seorang ulama terbilang (Datuk Perdana Paduka Raja iaitu bapa Mufti Syeikh Ab. Rahim). Di sini Tok Kenali mempelajari kunci ilmu pengetahuan, ilmu Nahu dan Sharafnya.

Tok Kenali juga mempelajari ilmu di Pondok Tuan Guru Haji Ibrahim di Sungai Budor, Kota Bharu selain Tuan Haji Ab. Samad bin Mohd. Shaalih (Tuan Tabal – 1816 hingga1891 Masihi) dan Haji Wan Ismail Haji Wan Senik, Langgar, Kota Bharu.

Ketika usia Tok Kenali 16 tahun, beliau mendirikan rumahtangga dengan anak perempuan Haji Shaalih Janggut bernama Mek Nik. Namun, bahtera rumahtangga tidak kekal lama dan ketika yang sama kedua-dua datuknya telah pulang menghadap Illahi. Tinggallah Tok Kenali seorang diri. Disebabkan perceraian inilah, Tok Kenali menyambung pelajaran ke Mekah.
 
Pada tahun 1887 Masihi (1305 Hijrah), iaitu ketika usia Tok Kenali menjengah 18 tahun, Tok Kenali belayar ke Tanah Suci Mekah dengan tujuan untuk melanjutkan pelajaran Agama di samping melaksanakan Rukun Islam yang kelima. Beliau ke sana hanya berbekalkan wang pemberian daripada ibunya bernilai RM22-00. Namun, disebabkan keberkatan Tok Kenali, beliau menerima RM50-00 daripada sahabat handainya di sana. Tempoh Tok Kenali belajar di Mekah selama 22 tahun.

Di antara Tuan Guru yang paling disayangi Tok Kenali ialah Wan Ahmad bin Muhammad Zain bin Mushtafa Al-Fatani yang digelarkan “Tok Guru Wan Ngah”, seorang ulama besar dan Pengarang Melayu yang terkenal. Namanya tersohor bukan sahaja di Tanah Suci Mekah tetapi juga sampai ke negeri Fatani, Malaysia, Indonesia, Kemboja dan lain-lainnya. Manakala pelajaran yang menarik perhatian Tok Kenali seperti Ilmu Nahu, Tauhid, Fiqh, Tasauf dan Tafsir Al-Quran.

Berikut adalah guru-guru Tok Kenali sebelum beliau ke Tanah Suci iaitu Tuan Guru Haji Ab. Samad bin Muhammad Shaalih (Tuan Tabal), Tuan Guru Haji Ibrahim bin Yusof (Sungai Budor), Tuan Guru Haji Muhammad atau Haji Yaakub bin Abdul Halim (Tuan Padang), Tuan Guru Haji Abbas (Atas Paloh), Datuk Haji Ab. Malik bin Musa (Hakim Johor), Tuan Haji Awang (Atas Banggol), dan Tuan Haji Nik Daud.

Guru-guru Tok Kenali yang berasal dari nusantara yang mengajar di Masjid Al-Haram adalah terdiri daripada Tuan Guru Wan Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa Al-Fatani (Tok Guru Wan Ngah), Asy-Syeikh Mukhtar Ataarid Al-Jaawiy Al-Bataawiy Al-Buqari (Bogor), Asy-Syeikh Ahmad bin Ab. Latif Al-Khatib bin Abdullah Al-Mankabawiy Al-Jaawiy (Minangkabau), Tuan Guru Haji Wan Ali Kutan (1253-1305 H), Asy-Syeikh Muhammad bin Ismail Daud Al-Fatani dan Tuan Guru Haji Muhammad bin Daud (Tok Api).

Manakala guru-guru Tok Kenali semasa berada di Tanah Suci Mekah adalah terdiri daripada Al-Allamah Asy-Syeikh Hasbullah (Mesir), Al-Allamah Asy-Syeikh ‘Ubaid (Mufti Mazhab Maliki), Al-Allamah Asy-Syeikh Muhammad Amin (Imam Mazhab Hanafi), Al-Allamah Asy-Syeikh As-Sayyid Bakri, Al-Allamah Asy-Syeikh Muhammad Yusof Al-Khayaat, Al-Allamah As-Sayyid Abdullah bin As-Sayyid Muhammad Shaalih Az-Zawawi (Mufti Mekah dan guru di Masjid Al-Haram).

Berkat rumahtangga yang bahagia hasil perkahwinannya dengan Hajjah Ruqayyah, Tok Kenali dikurniakan empat orang putera yang diberikan pendidikan Islam yang turut menjadi orang alim, guru, pendidik, ustaz dan pendakwah seperti Tuan Guru Haji Ahmad (1909 – 1979), Tuan Guru Haji Muhd. Shaalih (1911 – 1984), Tuan Haji Mahmud (Lahir 1913) dan Ustaz Haji Abdullah Zawawi (Lahir 1926).

Sementara itu, murid-murid Tok Kenali adalah terdiri daripada Pahlawan Mat Kelantan (berusia 152 tahun), Tuan Haji Ahmad bin Ismail (Datuk Lela Negara dan Tokoh Penulis), Tuan Guru Haji Ali Solahuddin atau Tok Syibawaih (Pulau Pisang), Lebai Ahmad (Mat Tokba), Tuan Guru Haji Muhammad bin Haji Yusof (meninggal 16 Ramadan, 1391 H). Lain-lain murid Tok Kenali seperti Tuan Guru Haji Muhd. Nor bin Abdullah (But), Tuan Guru Haji Ab. Qadir bin Sulaiman (Melor), Tuan Guru Haji Ismail Yusof (Mufti), Tuan Guru Haji Yaakub bin Ismail (Legor, Siam), Tuan Guru Haji Abdullah Tahir bin Haji Ahmad (Bunut Payong), Tuan Guru Haji Ahmad bin Idris (Pauh), Tuan Guru Haji Yaakub bin Haji Ahmad (Lorong Gajah Mati, Kota Bharu) dan Tuan Guru Haji Daud bin Haji Umar (Bukit Abal, Pasir Puteh).

Murid-murid Tok Kenali yang menjadi Mufti terdiri daripada Saahib As-Samaahah Datuk Haji Ahmad Maher bin Haji Ismail (Mufti Kerajaan Kelantan: 1946-1968), Saahib As-Samaahah Datuk Mufti Haji Ismail bin Yusof (Mufti Kerajaan Kelantan: 1987-1988), Saahib As-Samaahah Tuan Haji Hassan bin Abu Bakr (Mufti Kerajaan Melaka), Saahib As-Samaahah Tuan Haji Ab. Jalil bin Ismail (Mufti Kerajaan Selangor), Saahib As-Samaahah Tuan Dzu Al-Mukhtashar bin Dzu Al-Fudhail (Mufti Jawa Tengah), Saahib As-Samaahah Tuan Haji Ab. Samad (Mufti Pontianak, Kalimantan Barat) dan Saahib As-Samaahah Tuan Haji Ab. Rahman (Mufti Mempawah, Kalimantan Barat).

Murid-murid Tok Kenali yang menjadi Kadi (Hakim Syariah Islam) terdiri daripada Saahib Al-Fadhillah Encik Ali (Muar, Johor) dan Saahib Al-Fadhillah Encik Hasan bin Haji Muhammad (Sumatera).

Murid-murid Tok Kenali yang menjadi Pengarang (media persuratan atau penulisan dan dakwah menerusi lisan) seperti Dr. Asy-Syeikh Muhd. Idris Al-Marbawiy (Tokoh Pertama Ma’al Hijrah: 1896-1989), Asy-Syeikh Uthman Jalaluddin Al-Kilantani (1867-1952), Tuan Guru Haji Abdullah Tahir bin Haji Ahmad (1315-1381), Saahib As-Samaahah Datuk Mufti Haji Ismail bin Yusof, Yang Berhormat Datuk Haji Hassan Yunus Al-Azahari (Menteri Besar Johor), Tuan Guru Haji Ali Solahuddin bin Awang (1902-1968), Tuan Guru Haji As’ad bin Haji Daud (1886-1941), Tuan Guru Haji Yaakub bin Haji Ahmad (1893-1956), Tuan Guru Haji Daud bin Haji Umar (Bukit Abal, 1901-1976), Tuan Guru Haji Ya’quub bin Ismail (Legor, Siam), Al-Adiib Tuan Haji Ahmad bin Ismail (Datuk Lela Negara), Al-Adiib Ab. Qaadir Adabi bin Muhammad, Al-Adiib Ustaz Haji Harun bin Muhammad Al-Kilantani (Pulau Pinang), Al-Adiib Kiyai Tuan Haji Abdullah bin Nuh (Indonesia), Saahib As-Smaahah Datuk Mufti Haji Ahmad Maher bin Haji Ismail dan Tuan Guru Haji Ab. Rahman (Lubuk Tapah, Pasir Mas).

Manakala tentang gelaran Serambi Mekah pula: kalau di abad ke-17 Masehi, Aceh terkenal dengan gelaran Serambi Mekah disebabkan tempat laluan ilmu sebelum menyambungnya ke Mekah. Tetapi peranan berkenaan diambil pula oleh Kelantan pada abad ke-20 yang terkenal sebagai Serambi Mekah yang dimainkan oleh Tok Kenali dan murid-muridnya.

Tok Kenali menghadap Illahi sebagai Wali Allah yang agong. Seorang yang muhyiddin dan mussawwir pada tanggal 19.11.1933 dalam usia 65 tahun. Kira-kira 2,500 orang hadir dan lebih kurang 1,000 orang menyembahyangkan jenazahnya di hari kewafatannya.

Tok Kenali.
Sumber Foto: Internet.


Inilah Makam Tok Kenali. Foto ini dirakam pada 13.1.2011 (jam 11.30 malam) ketika Penulis menziarahi makamnya pada tarikh tersebut.

Duduk Hadapan (dari kiri): Tok Kenali bersama Pendita Za'aba (bertongkat)
Berdiri Belakang: Datuk Lela Negara (baju kot, dua dari kiri) dan Tok Selehong (sebelahnya).

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rujukan:
Buku “Detik-detik Sejarah Hidup Tok Kenali”,Ustaz Haji Abdullah Al-Qari bin Haji Salleh (A.Q.H.A.S – cucu Tok Kenali), Kelantan.